Rumah baharu bantuan zakat tenggelam banjir - Utusan Malaysia

Rumah baharu bantuan zakat tenggelam banjir

ROHANA Mohd. Idris bersama anaknya Muhammad Izzul Danial Mohd. Lapis menunjukkan baju sekolah yang masih terdapat kesan lumpur akibat ditenggelami banjir di rumahnya di Kampung Bukit Lanchong di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang penduduk di Jalan Ikan Seluang, Kampung Bukit Lanchong di sini mendakwa rumahnya dilanda banjir pada 18 Disember lalu baharu siap dibina dengan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada pertengahan tahun lepas.

Rohana Mohd. Idris, 48, yang merupakan seorang ibu tunggal kepada empat orang anak termasuk dua masih bersekolah rendah memberitahu sebahagian rumahnya sudah roboh sebelum dibantu LZS.

“Selepas roboh, LZS bantu kami sekeluarga dekat atas tapak sama. Sudah lebih 30 tahun saya tinggal di sini dan ini juga adalah rumah pusaka. Bila roboh akibat terlalu usang, LZS bantu dengan bina rumah baru.

“Tetapi, tak sampai pun setahun siap dibina, habis rumah kami tenggelam hampir seluruhnya. Bahagian bumbung dan siling banyak yang rosak, mujur ada bantuan LZS untuk baiki. Dapat tahu banjir itu tinggi selepas pokok kunyit yang saya tanam dalam pasu, ada atas bumbung selepas air surut,” katanya.

Dia berkata demikian ketika menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M. Yusop di rumahnya bagi menyerahkan bantuan keperluan asas pasca banjir, hari ini.

Tambahnya, tiada apa yang dapat diselamatkan, keperluan rumah rosak dan barang persekolahan anak-anak termasuk buku dan pakaian pun tidak lagi boleh digunakan.

“Ada sehelai t-shirt sukan yang boleh digunakan selepas basuh, kasut terpaksa beli baharu dan beg pula mujur ada orang sedekah, dapatlah mereka pergi sekolah semalam,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lelaki kurang upaya (OKU), Sewah Samidjo, 65, memberitahu rumahnya yang juga pernah dibantu dibina oleh LZS sebelum ini turut ditenggelami banjir luar biasa pada Disember lalu.

“Masih ingat, saya dan isteri adalah OKU dan masing-masing gunakan kerusi roda. Pada waktu petang, jiran bantu tolak kami sampai dekat sebuah terowong di Kampung Kuala Sungai Baru dan pada ketika itu paras air sudah tenggelamkan separuh kerusi roda.

“Bila pulang, banyak sangat peralatan rosak saya pula OKU dan warga emas tidak berdaya untuk bersihkan rumah dan baiki kerosakan, bersyukur bila LZS terus bantu untuk baiki rumah walaupun sudah 10 tahun terima bantuan,” luahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN