Rosmah fail permohonan baharu gugur hakim bicara kes pengubahan wang haram - Utusan Malaysia

Rosmah fail permohonan baharu gugur hakim bicara kes pengubahan wang haram

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi mengemukakan permohonan untuk menggugurkan seorang hakim Mahkamah Tinggi daripada mendengar perbicaraan kes di bawah pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya.

Isteri bekas Perdana Menteri juga akan memfailkan permohonan untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada pasukan pendakwaan dalam kes berkenaan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan kedua-dua permohonan dan satu permohonan untuk menggantung prosiding perbicaraan, didengar pada 24 Januari ini.

Rosmah memohon agar kesemua prosiding dalam kes terlibat digantung sehingga rayuan berhubung keputusan Hakim Mohamed Zaini menolak permohonannya supaya beliau menarik diri, diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Sehubungan itu, perbicaraan yang dijadualkan didengar hari ini di hadapan hakim berkenaan, ditangguhkan kerana permohonan Rosmah untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini baru difailkan semalam.

Ketika mahkamah mula bersidang, Sri Ram memaklumkan pihaknya membantah kesemua permohonan yang dikemukakan oleh Rosmah.

Dalam pada itu, peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Rosmah mempertikaikan surat pelantikan secara fiat Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes AMLA dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN.

Menurut peguam itu, surat lantikan itu hanya menyebut Sri Ram diberi kuasa mengendalikan dua kes lain tetapi bukan kes AMLA dan LHDN.

Sri Ram bagaimanapun mendakwa, Rosmah menyalahgunakan proses mahkamah kerana sekali lagi mempertikaikan pelantikannya secara fiat sebagai pendakwa raya dalam kes pengubahan wang haram.

Sri Ram menyatakan, pelantikan selaku timbalan pendakwa raya kanan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah jelas menyatakan Peguam Negara memberikan kuasa yang luas kepadanya untuk menjalankan pendakwaan.

Sri Ram menyatakan, permohonan tersebut menggunakan alasan yang sama sedangkan Hakim Mohamed Zaini sebelum ini telah menolak permohonannya pada 14 Disember 2021.

Pada 22 Disember 2021, Rosmah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut dan kes ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Rayuan pada 23 Mac ini.

Menurut Rosmah dalam afidavitnya, sekiranya Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya untuk menghalang Hakim Mohamed Zaini daripada mendengar kes pengubahan wang haram itu, maka perbicaraan terhadapnya akan hanya menjadi sia-sia.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Rosmah, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memohon supaya pembelaan diberi masa untuk memfailkan permohonan teratur bagi membatalkan kelayakan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya.

Firoz Hussein bagaimanapun berkata, Sri Ram tidak sepatutnya menuduh anak guamnya menyalahgunakan proses mahkamah kerana ia membabitkan persoalan undang-undang dan Rosmah berhak untuk mengemukakan permohonan itu.

Peguam bela turut membangkitkan persoalan bahawa Hakim Mohamed Zaini perlu menarik diri bagi kerana dikhuatiri perbicaraan akan menjadi berat sebelah.

Jelas beliau, ini kerana Mohamed Zaini merupakan hakim yang sama mendengar perbicaraan kes rasuah Rosmah berhubung projek solar hibrid dan yang mengarahkan wanita itu membela diri atas pertuduhan tersebut.

Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding hari ini dan memberikan masa kepada peguam memfailkan permohonan untuk membatalkan kelayakan Sri Ram.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang hram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN