Rombakan Kabinet: ‘Selagi tiada kenyataan, anggap sebagai spekulasi’ - PM - Utusan Malaysia

Rombakan Kabinet: ‘Selagi tiada kenyataan, anggap sebagai spekulasi’ – PM

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir ketika hadir di PPS SK Gangsa, Durian Tunggal, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Tiada perbincangan berhubung rombakan menteri atau timbalan menteri dalam mesyuarat Kabinet esok, sebaliknya ia hanya akan menjurus kepada dua perkara utama iaitu masalah banjir dan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengulas berkenaan khabar angin itu berkata, selagi tiada kenyataan rasmi daripada beliau berhubung perkara tersebut, orang ramai boleh menganggap cerita berkenaan sebagai spekulasi.

Tegasnya, senarai nama yang bertebaran di mana-mana platform media adalah perkara biasa, yang mana boleh dianggap sebagai kebiasaan seperti sebelum ini.

“Saya sekarang fokus pada banjir, kita fokus banjir. Benda-benda lain itu biarlah, belum lagi. Belum ada apa-apa lagi, tapi banyak spekulasi. Selagi saya tak buat kenyataan, spekulasi kita anggap.

“Nama-nama itu, macam-macam nama keluar, macam biasalah dulu pun macam itu juga. Saya sudah beritahu tadi fokus saya sekarang ini adalah untuk banjir, jadi saya tak nak cakap pun, soal ada ke tidak ada. Setakat ini selagi saya tak umumkan tiadalah, belum sampai masanya.

“Esok mesyuarat Kabinet. Topik utama yang kita akan bincang dua, yang pertama dari segi banjir. Yang kedua dari segi masalah Covid-19. Agak membimbangkan, walaupun kes kita masih lagi di bawah 3,000, tetapi Covid-19 ini nampak gayanya akan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa di sini, hari ini.

Perdana Menteri yang diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali meluangkan masa hampir 30 minit di situ sebelum bergerak ke PPS seterusnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, setelah hampir lima bulan menerajui Kerajaan Keluarga Malaysia, Ismail Sabri dijangka melakukan rombakan Kabinet dan melantik Timbalan Perdana Menteri minggu hadapan.

Sumber berkata, kebanyakan menteri dan timbalan menteri sudah mengetahui perkara tersebut.

Bagaimanapun sumber memberitahu, rombakan berkenaan masih dalam proses ‘tawar-menawar’ untuk memutuskan siapa kekal, siapa ganti atau siapa digugurkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya