GUA MUSANG: Gara-gara ancaman harimau belang yang berkeliaran di kampung mereka, sudah sebulan lamanya masyarakat Orang Asli di Pos Bihai, di sini terpaksa hidup dalam ketakutan.
Selepas Anek Along, 59, maut dibaham harimau awal bulan lalu, hanya seekor haiwan buas itu berjaya ditembak mati pihak berkuasa dan difahamkan, terdapat sekurang-kurangnya 10 ekor lagi harimau masih bebas berkeliaran.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, penduduk di situ tidak lagi bebas berjalan di kawasan terbuka dengan rata-rata mereka terutama golongan wanita dan kanak-kanak hanya berkurung di rumah.
Penghulu Pos Bihai, Alang Segan berkata, dalam tempoh sebulan kebelakangan ini, penduduk hanya berada di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti di kebun ubi kayu atau getah yang diusahakan manakala kanak-kanak juga tidak ke sekolah yang ditutup kerana keselamatan mereka.
“Diharap pihak berwajib segera memburu dan menangkap saki-baki harimau yang masih berkeliaran,” katanya ketika ditemui semalam.
Dollah Adi, 55, dari Kampung Bihai Lama pula berkata, penduduk dari 12 kampung di sekitar Pos Bihai kini bergilir-gilir berkawal dan meronda di kawasan penempatan masing-masing dengan bersenjatakan lembing.

“Lembing senjata turun-temurun kaum Orang Asli merupakan pertahanan diri yang terakhir sekiranya kami berdepan bahaya. Lembing ini untuk jaga keselamatan, bukan untuk kita memburu harimau itu,” katanya.
Sementara itu, anggota Senoi Praaq dari Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak turut menyertai operasi khas bersama pihak Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sejak seminggu lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo memberitahu Utusan Malaysia, seramai 21 anggota Senoi Praaq ditugaskan menjaga keselamatan penduduk, termasuk mengiringi mereka yang mahu ke kebun bagi menuai hasil tanaman.
“Masyarakat Orang Asli melahirkan rasa bersyukur dengan kehadiran pasukan Senoi Praaq. Ketakutan dan kebimbangan mereka terhadap ancaman harimau ini juga berkurangan selepas Senoi Praaq berkawal di situ,” katanya yang turut meninjau kawalan keselamatan terkini di Kampung Sau di Pos Bihai di samping mengagihkan sumbangan bakul makanan kepada 30 keluarga Orang Asli di situ.
Sementara itu, Penghulu Kampung Sau, Alak Asu berkata, kebajikan penduduk tidak terabai apabila pelbagai bentuk bantuan tiba di kampung tersebut sejak mereka berdepan ancaman harimau belang.
“Demi keselamatan nyawa, kami sudah sebulan tinggal di rumah dan tidak berani keluar ke mana-mana termasuk bandar Gua Musang kerana bimbang terserempak dengan Pak Belang di tengah jalan,” katanya.- UTUSAN ONLINE










