Ribut di Shah Alam boleh berlaku di tempat lain - Utusan Malaysia

Ribut di Shah Alam boleh berlaku di tempat lain

NUR Adila Rohani keluar dari kediaman ibunya yang rosak pada bahagian bumbung selepas dibadai ribut di Kampung Kebun Bunga, Seksyen 22, Shah Alam, Selangor. UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ribut yang melanda sebahagian Lembah Klang terutama di Shah Alam petang kelmarin, dikesan berkelajuan antara 30 hingga 40 kilometer sejam dan boleh berlaku di tempat-tempat lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, fenomena pusaran yang membadai itu boleh menyebabkan kemusnahan harta benda seperti berlaku di Pasaraya Giant Shah Alam apabila bumbung tempat meletak kenderaan tercabut.

Menurutnya, fenomena itu berlaku apabila hujan jatuh di bawah dasar awan atau bercampur dengan udara kering, sebelum ia memeluap dan berlaku proses penyejatan yang menyejukkan udara.

“Kemudian udara sejuk turun dan mempercepat ketika ia mendekati tanah sebelum menyebar ke semua arah. Perbezaan udara di iklim yang lembap atau fenomena downdraft yang berlaku juga boleh menjana hujan lebat.

“Fenomena ini boleh berlaku di mana-mana dan tiada negeri terkecuali daripada kejadian downdraft serta terdedah kepada kesan sampingan seperti petir, puting beliung, hujan batu serta banjir kilat,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian ribut di Shah Alam kelmarin, pokok-pokok di kawasan Pasaraya Giant banyak yang tumbang, berlaku kerosakan di Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah serta bumbung rumah penduduk di Jalan Kebun Bunga tercabut selain berlaku hujan batu di kawasan Glenmarie.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, cuaca tekanan rendah di barat Pulau Palawan, Filipina dijangka bergerak ke arah barat laut menjauhi negara dan dijangka tidak berkembang menjadi siklon tropika yang signifikan dalam tempoh tertentu.

“Pada amnya negeri-negeri di utara dan timur Semenanjung dijangka mengalami cuaca panas serta kering dan dijangka tidak mengalami kejadian ribut petir.

“Kawasan barat Sabah, utara dan tengah Sarawak serta pantai Barat Semenanjung khususnya Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan serta Melaka dijangka mengalami ribut petir dan hujan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×