RFID belum layak digunakan secara mandatori - Utusan Malaysia

RFID belum layak digunakan secara mandatori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT:  Kegagalan lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) berfungsi dengan baik sejak digunakan pertengahan bulan ini menunjukkan sistem itu belum layak digunakan secara mandatori di lebuh raya di negara ini.

Justeru, Pengarah Komunikasi Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Mohd. Ikhmal Mohd. Iskandar meminta kerajaan mengkaji semula keputusan untuk menggunakan RFID secara mandatori di lebuh raya seluruh negara.

“Saya mencadangkan agar lorong RFID dijadikan sebagai pelengkap kepada lorong Touch N Go dan Smart Tag agar makcik Kiah dan Pak Mail yang datang dari kampung tidak kekok dan canggung apabila menggunakan lebuh raya di kawasan kota,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Ikhmal yang memiliki ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengangkutan) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan bekas Penyelidik Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) berkata, kegagalan itu berpunca daripada pelbagai faktor seperti kegagalan mesin pengimbas untuk mengimbas Tag RFID yang dilekat di kereta pengguna.

Jelasnya, ia juga diburukkan dengan kurangnya penerangan dan panduan daripada pihak pembekal RFID dalam membantu pengguna memasang dan mengendali Tag RFID secara betul.

“Justeru, saya berpendapat pihak PLUS perlu memperkemas sistem pengimbas Tag RFID agar ia dapat berfungsi tanpa gagal.

“Di samping itu, sebagai langkah sementara, PLUS mungkin boleh menambah lorong RFID dalam mengurangkan kesesakan di plaza tol,” jelas beliau.

Menurutnya, pengeluar Tag RFID perlu segera mencari jalan penyelesaian dengan memastikan tag yang dijual dalam kualiti yang baik serta pengguna diberikan maklumat yang sewajarnya dalam memasang pelekat tersebut.

Beliau juga meminta pihak PLUS lebih prihatin dengan mengenakan kos yang paling minimum agar lebih ramai pengguna boleh membeli Tag RFID terutama dalam suasana rakyat dihimpit dengan pelbagai kenaikan kos keperluan hidup sekarang.

“Pada hemat saya harga RM35 sangat mahal dan tidak berbaloi dan pihak pengeluar juga boleh berbincang dengan kerajaan untuk memberi Tag RFID ini secara percuma sama seperti yang dilakukan pada tahun 2019/2020 yang lalu,” cadangnya.

Beliau menjelaskan, walaupun sebagus mana teknologi sekalipun tetapi jika ia gagal difahami dan digunakan sebaiknya, ia tetap dikira gagal mencapai tujuan teknologi itu direka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya