JOHOR BAHRU: Hasil soal siasat terhadap 512 suspek yang ditahan melibatkan pelbagai kesalahan dadah dalam operasi pada 21 hingga 23 Januari lalu, dua lelaki dipercayai pengedar dadah diberkas polis, Ahad lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kedua-dua suspek yang ditahan adalah lelaki warganegara tempatan yang berusia 31 dan 34 tahun.
Menurut beliau, mereka ditahan dalam dua serbuan khas yang dijalankan di kediaman mewah sekitar kawasan Johor Bahru dan Iskandar Puteri.
“Ketika tangkapan itu dibuat, polis turut merampas 41.78 kilogram (kg) syabu dan 7.11 kg ketamin dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.9 juta. Dalam serbuan tersebut, polis menyita lima kenderaan mewah termasuk Audi A7S, Volkswagen serta Toyota Camry bernilai RM225,000, pelbagai barangan kemas bernilai RM65,000 dan wang tunai bernilai RM1,500.
“Jumlah keseluruhan melibatkan rampasan dadah dan sitaan barangan adalah sebanyak RM2.2 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini. Yang hadir sama Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.
Tambah Kamarul Zaman, modus operandi digunakan sindiket terbabit adalah dengan menyimpan dadah di dalam kenderaan untuk dijual di pasaran tempatan.
“Sementara itu, pemeriksaan ujian saringan air kencing yang dibuat mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin. Mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah dan telah aktif mengedar dadah sejak setahun lalu,” ujarnya.
Beliau turut memberitahu, jumlah dadah yang dirampas dalam serbuan berkenaan boleh digunakan oleh seramai 250,000 penagih. Kedua-dua suspek direman sehingga 30 Januari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE