PUTRAJAYA: Seramai 13 lelaki warga India yang bekerja secara haram ditahan dalam satu serbuan di sebuah kompleks beli-belah di Solaris, dekat sini hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan pukul 3 petang itu, kesemua warga asing berusia antara 24 hingga 42 tahun digajikan majikan warga tempatan ditahan susulan tamatnya program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) pada 31 Disember lalu.
Katanya, sepasukan pegawai Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen menyerbu lokasi itu Jumaat lalu, dengan kekuatan seramai 38 pegawai Imigresen.
“Operasi dijalankan di kawasan pusat perniagaan lot premis lima tingkat melibatkan pemeriksaan ke atas 60 warga asing manakala didapati premis tersebut kebanyakan menggaji warga asing sebagai pemandu parkir valet, pengawal keselamatan, tukang cuci dan jurujual.
“Malah semasa serbuan, warga asing ini cuba menukar pakaian seragam untuk berlakon sebagai pengunjung bagi mengelak dari ditahan pihak berkuasa, tetapi usaha terbabit tidak berjaya sekali gus seramai 13 lelaki warga India ditangkap kerana kesalahan salah guna pas dan tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, dalam serbuan itu juga, seorang lelaki warga tempatan dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat juga pekerja warga asing yang digajikan itu telah mendaftar untuk Rekalibrasi Pulang dan dalam proses penghantaran pulang mengikut tarikh tiket yang disediakan majikan.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Tambahnya, semua warga asing dinasihatkan supaya mengambil kesempatan sertai Program Rekalibrasi Pulang PATI untuk pulang ke negara asal secara sukarela.
“Walaupun program ini telah dilanjutkan sehingga 30 Jun 2022, Jabatan Imigresen tidak akan berdiam diri dan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi menangkap PATI dan majikan yang masih degil,” katanya.