PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah membuat permohonan maaf terhadap Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dilemparkan dalam media sosial.
Permohonan maaf itu merupakan antara tuntutan yang perlu dilakukan melalui penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 22 September lalu.
Menerusi penghakiman itu, Yang Dipertua Pas Bangi itu dihalang daripada mengulangi kata-kata yang diadu serta kenyataan permohonan maaf itu perlu disiarkan dalam dua akhbar nasional serta platform media sosial milik Shafie, Pas Bangi dan Perikatan Nasional (PN) Bangi.
“Dengan penyelesaian ini, dan apabila terma-terma penyelesaian dipatuhi sepenuhnya, sewajarnya tidak ada pertikaian peribadi lagi di antara saya dengan Ustaz Shafie.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam-peguam saya, Daniel Albert, Nicholas Yap dan Amanda Yap daripada Daniel & Wong, atas khidmat mereka dalam kes ini,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook, hari ini.
Tuduhan berbaur fitnah itu sebelum ini dibuat menerusi siaran langsung Facebook pada 25 Oktober 2022, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta antara 8 hingga 12 Julai 2023 ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Menerusi kenyataan permohonan maaf hari ini, Shafie mengakui semua dakwaan tersebut adalah tidak benar, tidak berasas dan sama sekali tidak mempunyai merit.
“Saya amat kesal membuat kenyataan-kenyataan itu dan menyedari kerosakan reputasi yang dialami Syahredzan. Saya menarik balik sepenuhnya kenyataan berkenaan tanpa syarat dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama,” katanya. – UTUSAN










