KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berpandangan, satu program khas pasca bencana perlu dirangka bagi membantu masyarakat mengatasi kesan emosi susulan bencana dan musibah yang berlaku.
Titah baginda, program khas tersebut perlu dirangka dengan melibatkan kerjasama pakar pelbagai bidang seperti kesihatan, akademik dan agama.
“Bencana dan musibah yang melanda itu menyebabkan perubahan luar biasa berlaku secara mendadak dalam kehidupan dan persekitaran.
“Perubahan ini tidak harus dipandang remeh kerana kesannya boleh membawa kepada tekanan perasaan, fobia, kegelisahan dan kemurungan. Mereka yang menghadapi masalah seperti ini perlu melalui program berbentuk sokongan emosi dan kaunseling.
“Oleh itu, beta berpandangan, para pakar dalam pelbagai bidang seperti kesihatan, akademik dan agama harus bekerjasama merangka satu program khas pasca bencana untuk membantu masyarakat mengatasi kesan emosi negatif agar dapat mengukuhkan semula semangat serta kesihatan minda,” titah baginda.
Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Sempena Hari Keputeraan ke-74 baginda di Istana Besar Seri Menanti dekat sini, hari ini.
Turut berangkat ke istiadat itu ialah Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Seramai 410 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan ke-74 baginda hari ini dengan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain mendahului senarai penerima dan dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan berlangsung dalam tiga sesi dengan sesi pertama hari ini membabitkan 107 penerima, sesi kedua pada 22 Januari dan sesi ketiga pada 27 Januari ini.
Baginda sementara itu turut berpandangan bahawa pandemik Covid-19 daripada sisi yang berbeza, sebenarnya telah membuka ruang kepada kerajaan negeri untuk merancang dan menyusun semula strategi pembangunan.
Menurut baginda, ia berdasarkan keperluan dan keutamaan agar dapat memulih serta mensejahterakan semula kehidupan rakyat.
“Oleh yang demikian, perancangan, penetapan teras dasar dan penyusunan strategi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 perlu menjadi nadi dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi secara komprehensif dan inklusif.
“Beta penuh yakin dan percaya kerajaan beta bijak meletakkan fokus dan keutamaan dalam memastikan kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat jelata di Negeri Sembilan terjamin dan terbela,” titah Tuanku Muhriz lagi. – UTUSAN ONLINE










