KOTA BHARU: Pas yang mengesahkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat ini masih ‘kabur’ mengenai strategi dan hala tuju parti itu, termasuk jumlah kerusi yang akan ditandingi.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, seluruh parti kini sedang menunggu pengisytiharan dan pendirian sebenar Pas pusat berkaitan penyertaan mereka dalam PRN Johor.
“Kita tunggu mesyuarat (pusat) kerana setakat ini kita belum dipanggil lagi. Pada asasnya Pas akan bertanding dalam PRN Johor kerana kita tidak pernah lagi tidak bertanding.
“Keputusan muktamad kita hendak bertanding berapa kerusi termasuk sama ada akan bekerjasama dengan parti lain ataupun tidak, itu belum dibuat,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan di sini hari ini.
Terdahulu, Pas mengesahkan akan menyertai PRN Johor namun belum menetapkan sama ada mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), Muafakat Nasional (MN) atau bertanding secara sendirian.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas sedia berunding untuk bekerjasama dengan parti lain terutama yang mempunyai kerjasama termasuk UMNO menerusi MN. -UTUSAN ONLINE










