PRN Johor kembalikan mandat rakyat - Utusan Malaysia

PRN Johor kembalikan mandat rakyat

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan satu tindakan yang bertanggungjawab untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu dilihat sudah tidak dapat dielakkan memandangkan Kerajaan Negeri Johor pada ketika ini hanya mempunyai kelebihan majoriti satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, tindakan ugutan yang disuarakan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub untuk menarik sokongan kepada kerajaan menguatkan lagi alasan PRN perlu dilakukan.

“Kerana ugutan sedemikianlah, PRN dan PRU wajar dilaksanakan segera. Tiada kerajaan boleh diugut sedemikian pada setiap masa dan dalam setiap keadaan. Mengadakan PRN Johor bukan satu tindakan tidak bertanggungjawab. Malah inilah sebenarnya tanggungjawab. Kita mesti mengembalikan mandat kepada rakyat apabila kerajaan berada dalam kedudukan yang terlalu rapuh dan tidak stabil.

“Bukannya terus menerus berkeras bahawa kita mempunyai kuasa apalagi bila terpaksa meminta sokongan pembangkang,” katanya dalam kenyataan ketika mengulas mengenai kenyataan Salahuddin yang dilaporkan mengugut bahawa partinya akan menarik sokongan ke atas Perdana Menteri sekiranya PRN tetap diadakan.

Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, anggapan bahawa tanggungjawab dan fokus terhadap kebajikan rakyat akan terabai hanya kerana berlakunya PRN juga sangat salah.

Sekalipun akan diadakan PRN, jelasnya, jentera kerajaan dan segala bantuan tetap beroperasi dan diagih seperti biasa dan tidak ada yang akan ditutup atau dihentikan.

“Tetapi yang menjadi masalah ialah bila kerajaan lemah dan tidak stabil. Usaha membantu rakyat dan menguruskan negeri akan terjejas sekiranya terus diancam kejatuhan seperti yang berlaku sekarang. Lebih 90 negara melaksanakan pilihan raya semasa pandemik. PRN Melaka dan PRN Sarawak juga semuanya dijayakan semasa pendemik. Apa yang terhasil ialah kestabilan dan pembentukan kerajaan yang kukuh dan stabil dan tiada penularan wabak yang serius,” jelasnya.

Tambahnya, ugutan yang disuarakan Salahuddin itu sebenarnya bukan demi kepentingan rakyat tetapi kerana Amanah takut menghadapi pilihan raya dan menerima kekalahan.

“Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Melaka dan Sarawak sangat menghantui PH. Sama ada perlu atau tidak PRN Johor adalah sesuatu yang terpulang kepada budi bicara Kerajaan Negeri Johor dan Istana Johor. Segala ugutan dan ancaman dari PH bukan faktor penentu untuk PRN. Dan jika PH menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, BN akan bersedia untuk menghadapi PRU dan membentuk kerajaan baharu tanpa perlu sokongan PH,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN