PRN Johor: Amanah 20 kerusi, PKR 20 kerusi, DAP 16 kerusi - Utusan Malaysia

PRN Johor: Amanah 20 kerusi, PKR 20 kerusi, DAP 16 kerusi

MOHAMAD Sabu (berdiri tengah) bertanya khabar penduduk Permas Jaya ketika berada di kawasan sekitar itu di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) memuktamadkan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi setiap parti komponen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, Amanah dan PKR masing-masing akan bertanding 20 kerusi manakala baki 16 kerusi lagi akan diberikan kepada DAP.

Menurut beliau, kesepakatan itu dicapai Majlis Presiden PH dalam mesyuarat yang diadakan, kelmarin.

“Berhubung soal pengagihan kerusi bagi PRN Johor, kita sudah capai persetujuan di mana PKR akan bertanding 20 kerusi, Amanah 20 kerusi manakala DAP 16 kerusi.

“Namun dalam masa sama, kita juga masih membuka ruang perbincangan bersama mana-mana parti lain sekiranya mereka mahu menjalin kerjasama bersama PH dalam PRN Johor ini.

“Jika dengan penyertaan mereka boleh meningkatkan lagi peluang kemenangan kepada PH, ketiga-tiga pucuk pimpinan parti akan mengadakan perbincangan secara bersama,” katanya dalam sidang akhbar di Permas Jaya, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja memberitahu, ketika ini perbincangan berhubung kerjasama dengan parti-parti lain sedang berjalan dan akan diputuskan dalam tempoh sehari dua ini.

“Antara parti yang dimaksudkan termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

“Senarai calon bagaimanapun masih dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan buat waktu ini,” katanya sambil memberitahu Amanah akan turut bertanding di kerusi DUN campuran.

Sementara itu, Aminolhuda pula berkata, Amanah Johor telah menyerahkan nama-nama calon yang akan bertanding di kesemua 20 kerusi DUN diperuntukkan buat mereka.

“Senarai calon yang akan bertanding memang sudah siap, cuma sekarang kita tunggu pengesahan daripada kepimpinan pusat. Daripada 20 kerusi ditandingi, 14 kerusi akan ditandingi calon muka baharu termasuklah melibatkan sebahagian daripadanya calon muda,” jelasnya.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 9 Februari ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRN Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya