fbpx

Premis diserbu jual alat pemadam api disyaki tiruan – KPDNHEP

SEBUAH premis diserbu KPDNHEP kerana menjual pemadam api disyaki tiruan di Petaling Jaya, Selangor. - KPDNHEP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 864 unit pemadam api disyaki tiruan bernilai RM85,536 di sebuah premis di Petaling Jaya, Selangor pada 25 Januari lalu.

KPDNHEP menerusi kenyataan berkata, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang mengaku sebagai pengurus premis turut ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, hasil pengecaman awal oleh wakil pihak cap dagangan berdaftar mengesahkan kesemua produk tersebut adalah tiruan berdasarkan ciri-ciri yang ada pada pembungkusan dan produk itu sendiri.

“Premis juga didapati mengedar alat pemadam api untuk pasaran domestik melalui penjualan di premis perniagaan secara fizikal sekitar Lembah Klang dan secara dalam talian melalui platform e-dagang. Siasatan juga mendapati, bekalan pemadam api ini juga dipercayai diimport dari negara jiran. Turut dirampas termasuk beberapa dokumen perniagaan,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mana-mana orang yang menjual atau menawarkan atau mendedahkan bagi jualan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

KPDNHEP berkata, serbuan dilakukan berikutan aduan yang diterima daripada wakil cap dagangan berdaftar yang berkaitan berhubung penjualan pemadam api disyaki tiruan. 

“Kami ingin memberikan amaran kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi perundangan termasuk dengan tidak menjual barangan tiruan seumpama ini bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang ini.

“Pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati di dalam melakukan pembelian sama ada secara dalam talian ataupun di premis-premis fizikal agar tidak mudah terpedaya dengan taktik penjualan barangan tiruan ini,” katanya.

POPULAR

KOSMO! TERKINI