Polis selamat lelaki diculik sebab hutang - Utusan Malaysia

Polis selamat lelaki diculik sebab hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gara-gara gagal melangsaikan hutang, seorang lelaki warga asing diculik sekumpulan lelaki di sebuah kawasan di Pandan Indah, Ampang di sini Isnin lalu.

Malah,  isteri mangsa turut dipaksa membayar sejumlah wang tebusan bagi membebaskannya.

Bagaimanapun, mangsa dapat diselamatkan dan tiga penculik itu ditahan tidak sampai 24 jam aduan dibuat berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, isteri mangsa berusia 41 tahun menerima panggilan daripada suaminya kira-kira pukul 12.01 pagi, kelmarin memaklumkan dia diculik.

Menurut beliau, ketika menerima panggilan itu, isteri mangsa berada di kediamannya di Taman Cahaya Pandan, Pandan Jaya. 

“Suaminya memberitahu yang dia berada di Shah Alam dan dipercayai diculik oleh beberapa lelaki warga asing.

“Dia kemudian diarahkan oleh suspek untuk meminta isterinya membayar wang berjumlah RM5,000 untuk membebaskannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Ampang Jaya berjaya menangkap tiga lelaki terdiri daripada dua warga tempatan dan seorang warga asing, kelmarin.

Ujarnya, kesemua suspek berusia 26 hingga 40 tahun ditahan di sebuah restoran di Taman Cempaka, Ampang kira-kira pukul 5.55 petang.

“Mangsa yang berusia 43 tahun berjaya diselamatkan namun bengkak di bahagian muka dipercayai akibat dipukul.

“Siasatan awal mendapati kejadian ini dipercayai berpunca akibat masalah hutang mangsa berjumlah RM151,000 yang gagal dilangsaikan sejak tiga tahun lalu,” ujarnya. 

Dalam pada itu, semakan mendapati seorang suspek lelaki tempatan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan sudah dihukum, manakala ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek didapati negatif.

“Seorang suspek warga asing yang ditahan pula gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.

“Kesemua suspek kini direman empat hari sehingga Sabtu ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63,” ujar beliau.

Tambahnya, siasatan masih diteruskan dan usaha mengesan beberapa suspek yang masih bebas sedang dijalankan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN