Polis rampas dadah RM668,300, tahan enam lelaki - Utusan Malaysia

Polis rampas dadah RM668,300, tahan enam lelaki

SURINA Saad (dua dari kiri) menunjukkan ketulan ganja mampat yang dirampas dalam beberapa siri serbuan sekitar Perlis dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Perlis di Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menerima upah RM6,000 sehingga RM7,000 bagi satu trip perjalanan menghantar dadah dari negeri ini ke Kuala Lumpur.

Namun, upah lumayan itu tidak berkekalan apabila polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah tersebut selepas menahan enam individu serta merampas 270 ketulan ganja mampat seberat 267.32 kilogram bernilai RM668,300 dalam beberapa siri serbuan sekitar negeri ini, Isnin lalu.

Sindiket tersebut dikesan aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak November lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, seramai enam lelaki berusia 28 hingga 45 tahun diberkas dalam satu operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Perlis itu.

Katanya, dalam serbuan pertama sekitar pukul 8.30 pagi, pihak polis mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger di Jalan Tuanku Syed Putra menuju ke arah Alor Setar, Kedah yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah tersebut.

“Anggota polis mengekori dan mengejar kenderaan tersebut kira-kira 10 kilometer sebelum kenderaan suspek terbabas dan merempuh sebuah rumah di Kampung Lat, Simpang Empat.

“Dua lelaki masing-masing berumur 29 dan 39 tahun ditahan bersama 266.29 kilogram ketulan ganja bernilai RM665,725 yang disusun pada bahagian kargo kenderaan pacuan empat roda berkenaan,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Tambah Surina, susulan tangkapan pertama, serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah di Seriab di sini yang membawa kepada penangkapan tiga lagi individu berusia 28 hingga 45 tahun dan merampas 1.03 kilogram ganja dengan nilai pasaran RM2,575.

Katanya. serbuan ketiga pula dilakukan di Kampung Utan Ibus, Kuala Perlis dengan polis berjaya menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut.

“Siasatan polis mendapati bekalan dadah diperolehi dari Thailand dan dibawa masuk ke negara ini melalui jalan laut menggunakan bot persendirian dan Perlis dijadikan transit sebelum diedarkan di Kuala Lumpur.

“Sindiket ini dikesan aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak November lalu dan mengambil upah menghantar dadah dari Perlis ke Kuala Lumpur dengan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000,” katanya.

Kata Surina, jumlah rampasan tersebut mampu membekalkan dadah kepada 532,580 penagih dadah di sekitar Lembah Klang.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan dua lagi positif ganja.

“Polis turut menyita dua buah motosikal jenis Yamaha Nouvo dan Suzuki Smash dianggarkan bernilai RM8,000. Semakan lanjut mendapati lima daripada enam suspek memiliki rekod jenayah berkait dadah dan curi. 

“Kesemua suspek warga tempatan itu direman selama tujuh hari sehingga 31 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen Seksyen 15(1)(a) dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori,” katanya.

Tambah Surina, polis khususnya JSJN kini giat mengesan dan memburu saki-baki sindiket pengedaran dadah tersebut yang masih bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya