PETALING JAYA: Polis Kuala Lumpur telah menjalankan usaha mengesan kanak-kanak dipercayai warga asing yang meminta sedekah di jalanan selepas beberapa video yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof berkata, siasatan lanjut akan dijalankan pihaknya berhubung perkara itu mengikut beberapa peruntukkan undang-undang.
Jelas beliau, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu mana-mana orang yang menyebabkan atau mengakibatkan kanak-kanak atau sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak, membenarkan kanak-kanak itu berada di mana-mana jalan, premis atau tempat bagi maksud mengemis, menerima sedekah adalah melakukan kesalahan.
Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, mereka terlibat boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“Selain itu, tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 283 Kanun Keseksaan (Bahaya atau galangan di jalan awam atau di haluan pelayaran awam) iaitu siapa dengan melakukan apa-apa perbuatan dengan meninggalkan daripada menjalankan aturan mengenai apa-apa harta yang ada dalam milikannya atau di bawah jagaannya menyebabkan bahaya, galangan atau bencana kepada seseorang di mana-mana jalan awam atau di mana haluan pelayaran awam, hendaklah dihukum dengan denda yang boleh sampai RM400.
“Perbuatan yang dilakukan oleh kanak-kanak berkenaan juga boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 27 (c) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Peminta-peminta sedekah),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tegas Saiful Anuar, amaran keras diberikan kepada orang ramai agar tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggar undang-undang.
“Pihak polis juga menyeru kepada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” jelasnya.