Perkeso Terengganu sasar 40,000 daftar SKSPS Padanan Caruman tahun ini - Utusan Malaysia

Perkeso Terengganu sasar 40,000 daftar SKSPS Padanan Caruman tahun ini

FARIHAH Che Husin selepas menyampaikan bantuan pencen penakat dan faedah pengurusan mayat kepada Ahmad Zamr Sulong di Kampung Gong Pak Maseh di Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kira-kira 40,000 individu bekerja sendiri di Terengganu disasarkan menikmati insentif 80 peratus dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Padanan Caruman, tahun ini.

Pengarah Perkeso negeri, Farihah Che Husin berkata, mereka yang layak memohon manfaat itu ialah pekerja di sektor gig, tani, jaja, lain upaya, seni, orang asal, pelancongan dan usahawanita.

Katanya, menerusi inisiatif itu, pencarum hanya perlu membayar 20 peratus atau RM46.60 daripada keseluruhan caruman bernilai RM232.80 dengan 80 peratus atau RM186.20 ditanggung kerajaan membabitkan perlindungan selama setahun.

“Sehubungan itu, saya menyeru mereka yang bekerja sendiri termasuk pemberita sambilan untuk mengambil peluang mencarum di bawah SPS Padanan Caruman ini.

“Malah, untuk memudahkan dan melancarkan padanan caruman ini, kita akan menganjurkan program bersama media Terengganu dalam masa terdekat,”  katanya kepada pemberita selepas menyampaikan faedah pencen penakat kepada keluarga wartawan Sinar Harian Terengganu, Rubiah Omar, 39, yang meninggal dunia kerana ketumbuhan dalam kepala, di Kampung Gong Pak Maseh di sini hari ini.

Selain menerima pencen berjumlah RM1,644.45 sebulan sepanjang hayat, suaminya, Ahmad Zamri Sulong, 62, di samping dua anak, Muhammad Zulfan Fauzan Ahmad Zamri, 10, dan Muhammad Zulfadhli Firdaus, 8, turut menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000.

Sementara itu, Farihah berkata, Perkeso Terengganu membayar sebanyak RM15.5 juta faedah pampasan yang melibatkan 6,906 kes dalam tempoh April hingga November, tahun lalu.

Terdahulu, Ahmad Zamri mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perkeso dan bantuan itu sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan keluarga terutama bagi pendidikan dua anaknya sehingga tamat persekolahan kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya