PETALING JAYA: Seramai 12 individu termasuk aktivis dan pemimpin parti politik dipercayai akan dipanggil esok bagi memberi keterangan berhubung penganjuran perhimpunan ‘Tangkap Azam Baki’ di ibu negara semalam.
Satu sumber dalaman Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki berkata, antara nama yang akan dipanggil iaitu Ketua dan Naib Ketua Pemuda Amanah selain Pengarah Strategik parti itu.
Kata sumber itu lagi, beberapa nama lain yang turut akan dipanggil iaitu Naib Presiden Parti Muda, Dr. Thanussha Francis Xavier dan Aktivis Adam Adli Abdul Halim.
“Kesemua mereka dipercayai akan hadir memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD), Dang Wangi kira-kira pukul 2 petang esok,” katanya di sini hari ini.
Semalam, sekumpulan individu berbaju hitam dipercayai peserta perhimpunan #TangkapAzamBaki berkumpul di kawasan Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, di sini, pukul 11 pagi.
Mereka kemudian berarak sejauh 600 meter dari Jalan Bangsar menghala persimpangan lampu isyarat ke Brickfields sambil melaungkan pelbagai slogan dan menyanyi menggunakan sistem pembesar suara, diiringi paluan gendang.
Pada peringkat awal perarakan, peserta himpunan dilihat gagal mematuhi peraturan penjarakan fizikal, sebelum pihak penganjur mengingatkan peserta untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kawalan COVID-19 itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya telah mengenal pasti sebahagian peserta perhimpunan berkenaan.
“Selebihnya dalam tindakan secepat mungkin,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Polis akan memanggil penganjur perhimpunan #TangkapAzamBaki di Jalan Bangsar, di sini, untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata ketika ini, pihaknya masih mengenal pasti penganjur perhimpunan berkenaan untuk tindakan susulan.