LANGKAWI: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap perbincangan mengenai isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tidak patut disulitkan.
Sebaliknya, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, isu tersebut sepatutnya diberikan perhatian kerana ia melibatkan kepentingan awam.
Menurutnya, tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang melarang pendedahan mengenai perkara itu kepada media adalah tindakan yang tidak wajar.
Katanya, perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasanya dan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak boleh diperalatkan untuk menyekat perbicaraan meluas mengenai isu ini.
“Saya di Langkawi, orang di Langkawi pun tahu kes ni. Jadi macam mana dia nak jadikan isu ini tertutup?
“Jadi saya akan bincang dengan Pengerusi PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) untuk mengambil tindakan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini hari ini.
Presiden PKR itu menambah, beliau beranggapan isu pemilikan saham itu adalah satu tuduhan kepada Azam dan beliau perlu diberi ruang untuk memberikan penjelasan mengenai tuduhan tersebut.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan mesyuarat khas bagi membincangkan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dibatalkan.
Pembatalan mesyuarat khas yang sepatutnya diadakan pada 19 Januari ini dimaklumkan melalui surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Dewan Rakyat.
Sementara itu, Anwar memberitahu, PKR tidak menolak untuk bertanding sekiranya terdapat Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor.
Bagaimanapun beliau berkata, pada masa ini negara kini mempunyai banyak isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Pertama, apa isu masalah negara kita? Covid-19, ekonomi, rasuah, banjir. Selesaikan masalah itu dulu. Tetapi kalau diputuskan untuk diadakan pilihan raya, silakan. Kita akan bertempurlah, dalam medan, dalam gelanggang (PRN Johor),” katanya.