Perayaan Thaipusam disambut sederhana 

Perayaan Thaipusam disambut sederhana 

PENGANUT Hindu melakukan upacara ‘paal koodam’ atau menjunjung belanga berisi susu sempena sambutan perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh di Ipoh, Perak, hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sambutan Thaipusam di lokasi utama perayaan di Kuil Sri Subramaniar Gunung Cheroh di sini disambut secara sederhana oleh penganut agama Hindu berikutan wabak  Covid-19.

Seorang penganut agama Hindu yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan, R. Vikneswaran, 47, berkata, walaupun tahun ini Thaipusam kurang meriah berbanding sebelum Covid-19 melanda, upacara perayaan itu tetap diraikan dan berjalan lancar.

Menurutnya, sambutan Thaipusam pada tahun ini kurang meriah kerana terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan disebabkan Covid-19.

“Kami tetap mengikut SOP yang ditetapkan tetapi sedikit kecewa kerana remaja bawah 18 tahun tidak dibenarkan masuk ke kuil untuk beribadah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sempena Thaipusam, R. Vikneswaran berharap semua rakyat Malaysia diberi kesihatan yang baik dan terhindar daripada wabak Covid-19. 

“Doa saya pada tahun ini, rakyat Malaysia diberi kesihatan yang baik dan terhindar daripada virus Covid-19,” katanya.

Seorang eksekutif kewangan di sebuah syarikat guaman di sini, S. Komalarani, 61, berkata, walaupun sambutan tahun ini kurang meriah tetapi penganut agama Hindu tetap boleh berdoa dengan tenang.

Beliau berharap wabak Covid-19 segera berakhir.

“Harapan saya, rakyat Malaysia diberi kesihatan yang baik dan terhindar daripada wabak ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Ipoh Hindu Devasthana Paripalana Sabah, M. Vivekananda, berkata, pihaknya akur sambutan perayaan kali ini disambut secara sederhana berikutan Covid-19.

Katanya, pihaknya mematuhi SOP yang disediakan oleh kerajaan membabitkan pengunjung perlu memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan.

“Kita akur kerana paling penting keselamatan semua dalam suasana negara masih ada varian Omicron Covid-19 dan sebagainya,” katanya.

Vivekananda berkata, pihaknya mematuhi arahan dengan perarakan hanya disertai oleh 100 orang sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN