Penolong akauntan Pertubuhan Peladang mengaku seleweng dana syarikat - Utusan Malaysia

Penolong akauntan Pertubuhan Peladang mengaku seleweng dana syarikat

ANUAR Saat (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru bagi menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang penolong akauntan Pertubuhan Peladang Kota Tinggi mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini bagi tiga pertuduhan pecah amanah dengan menyeleweng dana syarikat sejumlah RM95,205, pada 2016 hingga 2018.

Tertuduh, Anuar Saat, 50, membuat pengakuan itu sejurus selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Bagaimanapun, Ahmad Kamal Arifin menangguhkan penghakimannya dan meminta Anuar melantik peguam bagi mengesahkan pengakuan salahnya. Hakim mencadangkan Anuar memohon Yayasan Bantuan Guaman sekiranya tidak mampu melantik peguam.

Mengikut pertuduhan pertama, Anuar melakukan pecah amanah berkaitan dana Pertubuhan Peladang Kota Tinggi berjumlah RM21,294 di sebuah bank di Jalan Niaga 1, Pusat Dagangan Jalan Masai, Kota Tinggi, antara Mei 2016 hingga Disember 2016.

Bagi pertuduhan kedua, dia telah melakukan kesalahan pecah amanah sama membabitkan dana berjumlah RM46,404 di lokasi sama antara Februari hingga Disember 2017.

Sementara itu dalam pertuduhan ketiga, Anuar telah melakukan kesalahan pecah amanah yang sama membabitkan dana RM27,507 di lokasi yang sama antara Januari hingga Julai 2018.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Anuar telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun, sebatan dan boleh didenda, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suhaili Sapun manakala Anuar tidak diwakili oleh peguam bela.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin rakyat tempatan dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Sementara itu, Anuar dalam rayuannya memberitahu hanya mampu membayar jaminan RM3,000 kerana ketika ini sedang digantung kerja manakala isterinya hanya meraih RM50 sehari bekerja sebagai pembantu kedai selain mendakwa memiliki masalah jantung bengkak dan perlu menanggung empat anak termasuk bayi berusia tujuh bulan hingga anak sulung berusia 19 tahun.

Ahmad Kamal Arifin menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah selain menetapkan 27 Februari ini sebagai tarikh sebutan bagi membolehkan Anuar melantik peguam bela.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya