Penjenayah cuba larikan diri ditahan semula polis - Utusan Malaysia

Penjenayah cuba larikan diri ditahan semula polis

TANGKAP layar video tular menunjukkan seorang suspek kes samun cuba melarikan diri daripada tahanan polis di Klinik Kesihatan, Beranang, Kajang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang suspek kes samun yang cuba melarikan diri ketika pemeriksaan kesihatan di Klinik Beranang, Kajang di sini berjaya ditahan semula polis.

Cubaan lelaki itu turut dirakam kamera dash sebuah kenderaan di lokasi kejadian sehingga tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada anggota polis yang melihat sebuah video berdurasi 38 saat di Tik Tok menunjukkan orang kena tahan (OKT) berpakaian baju dan seluar ungu terlepas lari semasa menaikkan OKT-OKT ke dalam lori.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 11 pagi, semalam.

“Ketika kejadian, anggota bertugas telah mengiringi seramai 19 OKT dari ke klinik tersebut bagi mengambil ujian swab (Covid) dengan menaiki lori pasukan.

“Setelah selesai, kesemua OKT telah dinaikkan semula ke dalam lori namun seorang daripada OKT cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Mohd. Zaid berkata, OKT tersebut telah berjaya ditangkap semula dalam jarak 50 meter dari lokasi melarikan diri.

Jelas beliau, OKT telah dibawa balik ke IPD Kajang dan telah masukkan semula ke lokap Balai Kajang dengan selamat.

“Hasil semakan mendapati, OKT ini merupakan suspek yang ditangkap bersabit dengan kes samun dan sedang dalam tempoh tahanan reman sehingga esok.

“Berikutan kejadian ini, kita membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan. Jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau dengan denda atau dengan kedua duanya,” katanya.

Pihak Polis menyeru mana-mana individu yang ada maklumat berhubung kejadian itu diminta untuk menghubungi  IPD Kajang di talian 03-89114222 atau mana-mana Balai Polis atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Suresh Krishnan di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.