Pengundi golongan mahasiswa meningkat 38 peratus - Utusan Malaysia

Pengundi golongan mahasiswa meningkat 38 peratus

NORAINI Ahmad (dua dari kanan) melihat buku Laporan Kajian Pembentukan DNA UiTM di UiTM Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jumlah pemilih dalam kalangan mahasiswa meningkat kepada 38 peratus atau 452,559 orang daripada 1.2 juta penuntut di semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) swasta dan awam di seluruh negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, angka berkenaan melibatkan mahasiswa yang berusia 18 hingga 20 tahun selepas SPR melaksanakan pendaftaran pengundi berusia 18 tahun (Undi18) secara automatik mulai 14 Januari lalu.

“Perubahan ini akan menyaksikan negara mengalami jumlah pertambahan undi yang mendadak kepada hampir 23 juta orang berbanding sekitar 15 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). 

“Pertambahan sekitar 30 peratus pengundi baharu yang akan mengundi kali pertama berpotensi besar mengubah senario politik pada pasca PRU-15,” katanya..

Beliau menyatakan demikian semasa berucap dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pelancaran buku laporan kajian pembentukan DNA UiTM di UiTM Shah Alam, di sini, hari ini.

Beliau bersama Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh menyaksikan pertukaran MoU antara SPR dan UiTM yang diwakili Naib Canselornya, Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor.

Terdahulu, Dewan Rakyat secara sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 iaitu menurunkan had umur mengundi, pendaftaran automatik dan menurunkan had umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun pada 16 Julai 2021.

Sehubungan itu, beliau telah meminta pegawai kementeriannya untuk memperbanyakkan program berhubung pelaksanaan Undi18 dalam kalangan pelajar IPT bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai  literasi politik di negara ini.

“Dalam laporan interim Kajian Memprofil Literasi Politik Pelajar IPTA yang dilaksanakan KPT tahun lepas, dapatan kajian menunjukkan bahawa literasi politik dalam kalangan pelajar boleh ditingkatkan lagi melalui pemantapan dan pengukuhan elemen nilai iaitu penghayatan dan pelaksanaan dasar dan akta sedia ada di pelbagai peringkat. 

“Justeru itu, KPT akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memberi pendedahan terhadap golongan ini berhubung hak serta tanggungjawab mereka sebagai pengundi,” jelasnya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya