GAZA: Pengintip Israel yang didakwa membunuh pensyarah Palestin, Dr. Fadi Mohammed Al Batsh di Kuala Lumpur pada 2018 dikatakan dalam kalangan orang Palestin.
Perkara itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dalam hantaran terbaharunya di Facebook, pagi ini.
Terdahulu beliau dalam hantaran sama memberitahu, pengintip tersebut telah ditahan di Gaza.
“Berita tersebar pagi tadi bahawa pengintip dan pembunuh Imam Fadi Al-Batsh di Kuala Lumpur pada 2018 berjaya ditangkap di Gaza oleh pihak keselamatan,” jelasnya.
Sebelum ini laporan menyebut, pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) pada 2018 itu dipercayai didalangi Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad, kata Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash.
Beliau yang mengeluarkan kenyataan itu berkata, dua suspek menaiki motosikal jenis BMW yang melepaskan tembakan jarak dekat berkenaan dipercayai ejen Mossad yang berada di Malaysia.
Fadi pernah menetap di Jabalia, utara Semenanjung Gaza sebelum berhijrah ke Malaysia pada 2011 dan bekerja sebagai pensyarah di UniKL BMI.










