Penganggur didakwa bunuh remaja perempuan, adik tiga tahun - Utusan Malaysia

Penganggur didakwa bunuh remaja perempuan, adik tiga tahun

MOHD. Fauzi Selamat dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang untuk menghadapi pertuduhan membunuh dua beradik dalam satu kebakaran. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang remaja perempuan dan adiknya yang berusia tiga tahun dalam satu kejadian kebakaran di sebuah rumah, September tahun lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh Mohd. Fauzi Selamat, 46, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa membunuh B. Diviyah, 19, dan adik lelakinya, B. Visnu di sebuah rumah di Kampung Baru Kundang, Rawang di sini antara pukul 10.10 pagi dan 10.40 pagi pada 14 September 2021.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 16 Mac ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Turut hadir dalam prosiding itu, peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa, Mahendren Naidu.

Sementara itu ibu bapa mangsa P. Chitra Devi dan suaminya T. Balan  berusia 48 tahun ketika ditemui berkata, mereka mahukan keadilan berikutan tragedi yang menimpa anak-anak mereka.

Pada 14 september 2021, media melaporkan seorang remaja perempuan maut manakala adiknya cedera selepas rumah yang didiami mereka terbabit dalam satu kebakaran di Kampung Baru Kundang, Sungai Buloh.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 11.24 pagi.

Menurut Norazam, seramai 16 pegawai dan anggota bersama beberapa buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang serta BBP Sungai Buloh telah dikejarkan ke lokasi kejadianndan setibanya dilokasi, anggota mendapati rumah teres berkenaan sedang marak dijilat api dan terbakar hampir 90 peratus.

Mengulas lanjut, kejadian tersebut melibatkan dua beradik di mana seorang remaja perempuan telah melecur hampir 80 peratus dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara adik lelakinya yang cedera telah dikeluarkan oleh orang awam dari rumah tersebut dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN