Pemancing, pemburu punca kebakaran hutan di Pahang- Bomba - Utusan Malaysia

Pemancing, pemburu punca kebakaran hutan di Pahang- Bomba

WAN MOHAMMAD ZAIDI Wan Isa (depan) memeriksa perbarisan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang pada Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2022, di Ibu Pejabat JBPM Indera Mahkota di Kuantan, Pahang. - FOTO/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Aktiviti memancing dan berburu oleh segelintir individu tidak bertanggungjawab antara punca utama berlakunya kebakaran hutan di negeri ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ir. Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, kumpulan tersebut sering meninggalkan tapak persinggahan mereka ketika di dalam hutan tanpa memastikan unggun api dipadamkan sepenuhnya hingga boleh mencetuskan kebakaran. 

Menurutnya, kejadian kebakaran besar di Rompin dan Muadzam Shah tahun lalu adalah berpunca daripada unggun api yang tidak dipadamkan sepenuhnya.

“Aktiviti berburu dan memancing dalam hutan ini boleh mencetuskan kejadian kebakaran hutan dan ia bermula apabila kumpulan ini tidak memadamkan terlebih dahulu unggun api sebelum beredar.

“Unggun api yang terbiar itu menjadi punca nyalaan dan akhirnya merebak ke kawasan berhampiran, ini berdasarkan apa yang berlaku tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2022 JBPM Pahang di Ibu Pejabat JBPM negeri di sini hari ini. 

Turut hadir Penolong Pengarah (Operasi) JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani. 

Dalam pada itu, Wan Mohammad Zaidi berkata, pengguna jalan raya khususnya yang merokok dalam kenderaan diingatkan tidak membuang puntung rokok masih menyala ke bahu jalan dipercayai boleh mencetuskan kebakaran. 

Katanya, keadaan cuaca panas terik seperti yang melanda di beberapa kawasan di beberapa daerah di negeri ini juga boleh menyebabkan tercetusnya kebakaran hingga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain. 

“Macam di sepanjang laluan Penor (Jalan Kuantan-Pekan), ada kejadian kebakaran semak berpunca daripada sikap pemandu yang membuang puntung rokok mereka. 

“Kita kena faham dengan keadaan cuaca semasa dan di tambah pula banyak pokok mati akibat banjir baru-baru ini, daun-daun pokok kering dan rumput, semua ini mudah terbakar, jadi janganlah buang puntung rokok masih menyala sewenang-wenangnya,” katanya. 

Beliau berkata, pihaknya telah bersiap sedia menempatkan anggota di beberapa kawasan kebakaran yang dikenal pasti di tiga daerah yang sering berlaku kebakaran iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin.

“Berdasarkan pengalaman yang biasa kita lihat dan juga rekod, biasanya kebakaran mula berlaku kawasan Peramu, Rompin, Muadzam Shah, Gebeng dan Penor.

“Ketiga-tiga daerah ini akan diberikan tumpuan dan kita sentiasa bersiap sedia. Tambahan pula, sekarang ini kita telah mula menghadapi keadaan cuaca yang panas setiap hari,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN