MARANG: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menolak dakwaan parti itu berdepan pergolakan dalaman susulan pengguguran Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, baru-baru ini.
Abdul Hadi berkata, tindakan menggugurkan mana-mana kepemimpinan adalah perkara biasa dalam parti itu.
“Tidak ada perpecahan kerana kita pernah mengalami situasi lebih besar daripada itu.
“Biasalah pokok, daunnya gugur. Nanti tumbuh, subur balik,” katanya ketika ditanya pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.
Pengguguran Mohd. Khairuddin sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas mencetuskan perang mulut terbuka dalam kalangan kepemimpinan tertinggi termasuk Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mendesak parti membuat penjelasan kepada umum.
Bagaimanapun, tindakan itu diselar AJK Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang berpendapat, parti tidak perlu mendedahkan secara terperinci alasan pengguguran berkenaan dan memadai dengan alasan berpunca akibat isu disiplin.
Malah, Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin turut kesal dengan tindakan Nik Mohamad Abduh itu yang disifatkan cuba mencetuskan kekeliruan dalam media sosial dan media-media massa.
Hashim menegaskan, Nik Mohamad Abduh sepatutnya berjumpa sendiri Abdul Hadi bagi mendapat penjelasan lanjut mengenai pemecatan tersebut, bukannya mempersoalkan secara terbuka dalam media sosial yang boleh mencetuskan pelbagai polemik. – UTUSAN ONLINE