Pas perlu timbang jumlah kerusi ikut merit, rekod terdahulu - Utusan Malaysia

Pas perlu timbang jumlah kerusi ikut merit, rekod terdahulu

PRN JOhor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas perlu mempertimbangkan  jumlah kerusi yang wajar ditandingi sekiranya mahu bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, pertimbangan tersebut perlu dibuat berdasarkan merit serta track record parti itu sebelum ini.

Menurutnya, berdasarkan pencapaian Pas di PRN termasuk PRU di Johor sebelum ini, Pas ditawarkan empat kerusi oleh BN dan tawaran tersebut ternyata benar-benar realistik.

“Alangkah baiknya Pas memulakan langkah baharu dengan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi pada PRN kali ini. Jika prestasi Pas baik di Johor, mungkin wajar jumlah kerusi itu ditambah kepada lapan pada pilihan raya akan datang.

“Pas mungkin benar kuat di Kelantan Terengganu dan Kedah namun perlu diakui, keadaan di Johor berbeza. Tun Dr. Mahathir Mohamad misalnya mungkin kuat di Langkawi tetapi agak mustahil untuk beliau menang di Pekan, Pahang.

“Begitu juga dengan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mungkin kuat di Marang namun bagaimana jika beliau bertanding di Bagan?” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan  Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa parti itu hanya ditawarkan empat daripada 56 kerusi DUN untuk ditandingi oleh UMNO dan BN dalam PRN akan datang.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air kemudiannya mendakwa, tawaran tersebut bukanlah ‘cara yang baik’.

Mengulas lanjut, Syed Johan berkata, dalam keadaan sekarang, Pas harus bingkas bermuhasabah, merendahkan ego dan berlapang dada dalam mengambil iktibar serta hikmah yang berlaku.

“Saya agak terkesima apabila Tuan Ibrahim seolah-olah merajuk. Katanya tawaran empat kerusi itu bukan cara baik berbanding 15 kerusi DUN yang ditawarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk ‘memancing’ Pas terus bersama Perikatan Nasional (PN).

“Ketika Pas bertanding di Johor pada 2018, parti itu bertanding 40 kerusi DUN tetapi hanya menang satu. Ditawarkan empat kerusi bertaraf ‘boleh menang’ di Melaka oleh UMNO dan BN, Pas menolak sebaliknya memuji Bersatu yang memberikan lapan kerusi kepada mereka.

“Akhirnya, Pas kalah di semua kerusi di Melaka. Walau apa pun, terpulanglah kepada Pas untuk menerima tawaran ‘boleh menang’ BN kali ini atau menolaknya mentah-mentah. BN pula saya yakin sentiasa berlapang dada andai ditakdirkan bertanding solo lagi dalam PRN di Johor nanti,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN