Pas istiqamah bersama Perikatan Nasional - Muhyiddin - Utusan Malaysia

Pas istiqamah bersama Perikatan Nasional – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin hadir dalam Mesyuarat Bersatu Johor di Shah Alam, Selangor, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pas dikatakan istiqamah bersama Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun terdapat dakwaan parti itu akan berbincang dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu termasuk Parti Gerakan sudah pun membuat persediaan awal untuk menghadapi pilihan raya di sana.

Menurutnya, gerak kerja PN akan disusun semula selepas mengambil iktibar daripada pengalaman dalam PRN Melaka apabila mereka hanya memenangi dua daripada 28 kerusi yang ditandingi pada 20 November lepas.

“Jadi, sebab itu di peringkat awal ini, persiapan sudahpun bermula dan nampaknya hubungan kerjasama antara parti-parti seperti Pas istiqamah dalam PN, Gerakan, parti-parti di Sabah pun begitu juga tiada masalah.

“Yang penting sekarang ini ialah untuk kita menyusun gerak kerja berdasarkan pengalaman di Melaka, jadi kita ambil pengajaran daripada situ dan bagaimana hendak pastikan pengundi-pengundi faham (menyokong),” katanya.

Muhyiddin berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersatu Johor di sini hari ini yang turut dihadiri Setiausahanya, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Ahli Parlimen Mersing yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad.

Johor bakal menyaksikan siri PRN seterusnya selepas Sabah, Melaka dan Sarawak apabila Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohamad memaklumkan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Sabtu lalu.

Tindakan perisytiharan pembubaran DUN itu dibuat selepas kerajaan negeri dilihat tidak stabil kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu dilihat yakin untuk membawa partinya bertanding di semua 56 DUN Johor walaupun pendaftaran pengundian secara automatik dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 14 Januari lalu.

Bilangan pengundi di negeri berkenaan meningkat sehingga 750,000 yang mana hampir 180,000 daripadanya adalah pengundi muda berusia 18 tahun.

“Setakat hari ini begitu, kita belum berjumpa PN secara rasmi jadi pandangan pimpinan dalam parti gabungan agaknya begitulah. Jadi, kita akan terus menyampaikan mesej ini menerusi kekuatan media yang kita ada kepada seluruh lapisan pengundi, kita ambil kira keputusan SPR di mana akan ada jumlah undi yang bertambah.

“Kami memberi perhatian serius dalam perbincangan tadi, bagaimana kita hendak menarik sokongan anak muda dan pengundi yang tak pernah mengundi tetapi sudah didaftarkan pengundi secara automatik oleh SPR. Itu antara sasaran yang kita akan berikan tumpuan,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gambir itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.