JOHOR BAHRU: Keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk membuat ‘debut‘ dalam kancah politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti mendapat perhatian parti terbesar negara, UMNO.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kehadiran Muda dalam PRN Ke-15 itu dilihat sebagai cabaran tambahan parti dalam usaha menawan kembali negeri Johor setelah kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian itu turut mengalu-alukan kedatangan Muda pada PRN Johor setelah parti baharu itu sudah diluluskan pendaftarannya.
“Ini negara demokrasi, apabila tiba pilihan raya, pasti banyak parti yang nak bertanding. Jadi, tidak ada siapa dapat menghalang mereka daripada berbuat demikian.
“Kita sebagai parti terbesar di Malaysia melihat ini sebagai satu kedinamikan politik yang perlu dihadapi dengan politik matang. Teruskan, kami tidak ada halangan kerana mereka sudah diluluskan.
“Selepas PRU-14, UMNO sudah terbuka dengan kedinamikan politik yang pelbagai. Kita anggap Muda sebagai satu cabaran tambahan kepada strategi kita untuk menghadapi PRN,” katanya selepas menghadiri mesyuarat bersama setiausaha bahagian di Bangunan UMNO, di sini hari ini.
Sabtu lalu, Pakatan Harapan (PH) Johor dilaporkan mengesahkan Muda secara prinsipnya akan bekerjasama dengan gabungan berkenaan pada PRN Johor yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan, yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata, persetujuan berkenaan dicapai dalam perbincangan bersama Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abd. Rahman, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, UMNO mempunyai strategi tersendiri dalam usaha menarik kira-kira 750,000 pengundi muda dan baharu pada PRN Johor antaranya menerusi program yang dilakukan sayap parti pemuda dan puteri sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Tambahnya, UMNO juga akan menggunakan media sosial untuk mendekati golongan seperti itu yang dilakukan semasa PRN Melaka susulan kekangan tidak dapat berkempen mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“UMNO juga akan menampilkan calon muda yang akan bergandingan dengan calon berpengalaman dan wanita bagi menarik sokongan golongan berkenaan. Kita juga harapkan golongan ibu bapa yang merupakan ahli UMNO akan mempengaruhi anak-anak mereka untuk mengundi UMNO,” katanya.










