Paramotor Perlis cipta sejarah - Utusan Malaysia

Paramotor Perlis cipta sejarah

AKSI para peserta aktiviti paramotor sempena kejohanan Northern Tour Paramotor Fun Fly 2022 di Seriab, Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN /NUR NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Acara peluncur udara bermotor atau paramotor yang julung kalinya diadakan di negeri ini berlangsung meriah membabitkan 68 peserta dari seluruh negara iaitu penyertaan tertinggi pernah direkodkan.

Northern Tour Paramotor Fun Fly 2022 anjuran gabungan Kelab Paramotor Bahagian Utara yang terdiri daripada Kelab Paramotor Flyhigh Perlis, Kelab Paramotor Northern Sungai Petani dan Kelab Paramotor Sitiawan Perak itu berlangsung tiga hari berakhir hari ini di tapak projek pembangunan Kangar Jaya Seriab.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kelab Paramotor Fly High Perlis, Datuk Abdul Azib Saad berkata, acara tersebut secara tidak langsung telah memperkenalkan sukan paramotor di negeri ini yang semakin mendapat tempat dalam kalangan peminatnya.

Katanya, penyertaan kali ini melibatkan 21 penerbang ‘foot launch’ atau pelepasan dengan kaedah kaki dan selebihnya adalah penerbang ‘trike’ (model menggunakan basikal khas).

“Acara ini adalah yang pertama kali diadakan sejak negara dilanda pandemik Covid-19 yang memberi peluang kepada peluncur-peluncur atau penerbang bertemu setelah sekian lama.

“Di samping itu, para peluncur juga dapat menambah dan mengumpul waktu penerbangan mereka kerana ada juga dalam kalangan mereka yang masih dalam peringkat latihan. Dalam masa sama, mereka juga dapat berkongsi pengalaman dengan peserta yang lebih berpengalaman,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan negeri, Azman Mohd. Yusof berkata, kerajaan negeri bercadang menjadikan aktiviti tersebut sebagai acara tahunan dan telah meminta pihak persatuan paramotor negeri ini untuk mengemukakan kertas kerja.

Katanya, sukan tersebut bakal merancakkan lagi aktiviti pelancongan di negeri ini selain pihaknya turut meneliti sumbangan yang boleh diberikan untuk membangunkan aktiviti berkenaan.

“Kita sedang berbincang dengan Persekutuan Sukan Udara Malaysia untuk menjadikan sukan ini sebagai acara tahunan. Kalau boleh para peserta bukan sahaja dari Malaysia, tetapi kami juga mahu jemput peserta dari Thailand dan Indonesia,” ujarnya.

Sebagai rekod, program berkenaan ada pembuka jendela bagi aktiviti pelancongan 2022 di negeri ini. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN