TAPAH: Masyarakat Orang Asli Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan yang berhadapan ancaman harimau belang mahu komuniti mereka dilibatkan sama dalam operasi menjejak haiwan buas itu.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Sapiah Mohd. Nor berkata, perkara itu disuarakan penduduk setempat kerana tidak berpuas hati apabila operasi yang dijalankan di dalam hutan kemungkinan melanggar pantang larang dan budaya mereka.
Katanya, komuniti itu mahu pandangan dan cadangan mereka diambil kira dalam usaha menjejaki haiwan yang kini bebas berkeliaran.
“Kita faham jabatan dan agensi terlibat dalam operasi ini bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan tetapi mereka (Orang Asli) berpandangan yang mereka juga ada pantang larang sendiri.
“Contohnya baling-baling mercun dalam hutan. Bagi mereka ia sesuatu yang tidak boleh dilakukan dan perkara-perkara yang dianggap melanggar pantang larang ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka,” katanya selepas majlis penyerahan Tube Camp daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) kepada Jakoa di Kampung Orang Asli Lata Kinjang, Chenderiang di sini, semalam.
Menurut Sapiah, beliau telah membangkitkan isu tersebut semasa mesyuarat bersama menteri baru-baru ini yang mana penduduk setempat mahu dilibatkan dalam operasi berkenaan. Bagaimanapun, Jakoa akan mengambil peranan menerangkan kepada penduduk Orang Asli di sana mengapa penglibatan mereka dihadkan atas faktor keselamatan.
“Kita akan cuba menerangkan kepada mereka, memandangkan bahaya harimau itu yang jadi fokus utama, maka aspek budaya itu mungkin terpaksa kita kurangkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sapiah berkata, kemudahan Tube Camp yang ditempatkan di air terjun Lata Kinjang itu dapat merancakkan lagi pembangunan eko pelancongan di kawasan penempatan orang asli. – UTUSAN ONLINE