Negeri Sembilan belum cadang benar rapat saf solat berjemaah di masjid, surau - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan belum cadang benar rapat saf solat berjemaah di masjid, surau

JEMAAH menunaikan solat Jumaat di Masjid Sri Sendayan. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan belum bercadang untuk membenarkan saf solat berjemaah di masjid dan surau dirapatkan seperti dilakukan di Perlis dan Johor.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu mengambil kira situasi semasa jangkitan Covid-19 di negeri ini yang masih mencatatkan kira-kira 100 kes sehari.

“Memang kita mahu bersembahyang seperti biasa, dirapatkan semula saf tetapi kita maklum bahawa kita perlu jaga juga kerana yang hadir ke masjid biasanya orang tua yang kebolehjangkitannya tinggi, kita jaga kesihatan dan nyawa, itu lebih utama di samping kita jaga solat kita.

“Saya ajak umat Islam di Negeri Sembilan, jika betul beria, kita penuhkan masjid dan bolehlah kita aturkan untuk mungkin rapatkan saf, kalau sekarang pun (waktu) Subuh hanya satu dan dua saf, saya rasa jaga kesihatan itu lebih utama.

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini. – UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA

“Belum ada cadangan kepada saya dan belum menerima pandangan malah Majlis Fatwa juga belum ada pengumuman mengenai perkara tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan supaya pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di negeri itu dijarakkan hanya setengah meter bermula 7 Januari.

Semua masjid di seluruh Perlis pula mula dibenarkan untuk solat berjemaah dengan merapatkan saf bermula 8 Januari lalu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan meneruskan dasar diskaun 15 dan 25 peratus terhadap bayaran premium tanah pertanian yang diluluskan untuk ditukar syarat kepada projek hartanah.

Kata beliau, permohonan penukaran status tanah itu diteruskan sepanjang tahun ini berbanding sebelum ini yang menetapkan permohonan dibuat hanya dalam tempoh enam bulan sekali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN