PETALING JAYA: Kenyataan terbaharu yang dikeluarkan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa masa depan Anwar Ibrahim sudah berlalu didakwa bersifat jahat.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, kemenangan Mukhriz sehingga mengangkat beliau menjadi Menteri Besar Kedah adalah kerana PKR.
“Hari ini apa jua yang Mukhriz nyatakan tidak akan mampu memadam lipatan sejarah beliau menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan menjadi Menteri Besar Kedah hasil dukungan jentera PKR yang mengangkat idealisme serta perjuangan panjang Anwar melawan kezaliman penguasa.
“Kenyataan beliau yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) perlukan pemimpin baru adalah kenyataan bersifat jahat dan menunjukkan ketidakmatangan beliau selaku pemimpin politik masa depan negara,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambah Halimey, Mukhriz haruslah berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana menurutnya PKR telah banyak berjasa kepada Pejuang.
“Belajarlah menghargai toleransi yang telah ditunjukkan PKR walaupun Pejuang bukanlah sebagai parti komponen PH.
“Di Selangor misalnya, Ahli Dewan Negeri Pejuang diberi peruntukan sama rata dan bebas menjalankan program politik tanpa sebarang sekatan di bawah pimpinan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari,” katanya.
Dalam satu temubual bersama BFM, Mukhriz menyifatkan Anwar bukan lagi calon untuk menjadi Perdana Menteri.
Beliau merasakan bahawa rasa masa Anwar sudah berlalu dan ramai yang telah menyatakan demikian dalam PH sendiri. Menurutnya, sudah tiba masanya untuk kumpulan baru mengambil alih. – UTUSAN