KAMPAR: MCA sudah mempersiapkan jentera parti itu bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, MCA bersedia jika PRN negeri itu diadakan pada bila-bila masa.
“Bila-bila saja wisel ditiupkan, kita akan bersiap siaga dan memastikan orang-orang kita sudah turun ke bawah dan mereka sudah faham peranan mereka.
“Bagaimanapun sehingga kini belum terdapat sebarang maklumat atau mesyuarat yang diadakan berhubung desas-desus PRN tersebut,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Kebangsaan Kutipan Dana MCA bagi Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kampus UTAR, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon.
Ka Siong berkata, setakat ini khabar angin mengenai PRN Johor itu hanya diketahui menerusi media massa.
Menurutnya, namun sama ada MCA akan berdepan PRU-15 atau PRN, parti itu tetap bersedia dan akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sama.
“Tatacara kita adalah kita bersiap siaga kerana kita sudah masuk tahun keempat (penggal).
“Apabila memasuki tahun keempat bagi setiap penggal, parti dapat menjangka akan berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) mahupun PRN,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi MCA Johor berkata, untuk tempoh 18 bulan akan datang juga pihaknya meramalkan akan berlaku PRU-15.
“Perkara paling penting dilakukan adalah mendampingi rakyat setiap masa dan bukan hanya tunggu masa pilihan raya,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam satu kenyataan memberi bayangan PRN Johor bakal diadakan dalam masa terdekat.
Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor memberi jaminan PRN tidak akan mengganggu urusan pentadbiran kerajaan negeri jika dilaksanakan tidak lama lagi. – UTUSAN