JOHOR BAHRU: Polis meminta bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengesan waris kepada seorang guru, Lo Kwan Fong yang ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Bandar Selesa Jaya, Skudai, di sini minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, usaha mengesan waris wanita itu bagi membantu urusan tuntutan jasad mendiang yang masih berada di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
“Setakat ini, jasad mendiang yang dipercayai meninggal dunia kira-kira sebulan lalu masih di HSA dan belum ada waris terdekat yang tampil menuntutnya.
“Ada pihak sekolah yang tampil untuk menuntutnya namun kami tidak boleh benarkan, kami kena kesan waris terdekat dahulu,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Isnin lalu, media melaporkan seorang guru wanita ditemukan meninggal dunia dengan jasadnya dalam keadaan reput di dalam rumahnya.
Ia selepas jiran terhidu bau busuk dari rumah mangsa sebelum membuat laporan di Balai Polis Nusa Bestari pada pukul 8 malam, Khamis lalu.
Guru berkenaan merupakan anak tunggal dan Ibu bapanya telah meninggal dunia sejak beberapa tahun yang lalu. – UTUSAN









