Mazlan Bujang sertai UMNO? - Utusan Malaysia

Mazlan Bujang sertai UMNO?

MAZLAN BUJANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang terus berteka-teki apabila enggan mengulas statusnya sama ada sudah keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau tidak.

Mazlan yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tebrau ketika dihubungi terus enggan mendedahkan parti yang akan diwakili pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Bersatu Johor memberitahu akan membuat satu pengumuman esok menerusi sidang akhbar yang diadakan di bandar raya ini.

“Saya tak boleh beritahu dulu, tunggu esoklah. Jemput datang untuk buat liputan,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri berkata demikian ketika disoal mengenai khabar angin mengenai beliau akan melompat parti. 

Desas desus tersebut bertiup kencang selepas pengamal media mendapat jemputan mengenai sidang media pengumuman khas dipercayai berkaitan Mazlan yang dijangka menyertai sebuah parti politik esok.

Selain Mazlan, dua lagi bekas ADUN Bersatu difahamkan turut mengikuti jejak langkah Mazlan dan menyertai majlis pengumuman itu nanti.

Isnin lalu, Mazlan dilaporkan tidak akan bertanding atas tiket Bersatu pada PRN kali ini ekoran tidak sehaluan dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum itu, Mazlan dilaporkan sedia menimbangkan untuk bersara daripada dunia politik sekiranya PRN diadakan selain pernah menafikan bakal menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada PRN Johor diadakan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN