KUALA LANGAT: Seorang lelaki menemui ajalnya apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya di kilometer 26.2 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), arah Saujana Putra menghala Pulau Indah, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, kejadian kira-kira pukul 8.10 malam dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang sebuah motosikal melanggar bucu sebelah kanan belakang sebuah lori yang berada di lorong kecemasan.
“Bagaimanapun, tiada papan tanda amaran yang diletakkan berdekatan lori tersebut.
“Akibat daripada pelanggaran itu, mangsa tercampak dan jatuh di permukaan jalan di lorong paling kiri lalu dipercayai digilis kenderaan yang kami tidak pasti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, mangsa kemudian dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Kata Ahmad Ridhwan, mangsa adalah seorang warga tempatan berusia 32 tahun dan bekerja sebagai pembekal makanan di sebuah syarikat di Rawang.
“Dia dipercayai baru habis kerja dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Durian, Kanchong Darat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ahmad Ridhwan meminta orang awam yang menyaksikan kemalangan itu menyalurkan maklumat kepada pihak polis atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mazrol Mohd. Din di talian 011-18539115.