Maritim Malaysia rampas 1.03 tan daun ketum - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia rampas 1.03 tan daun ketum

SEBAHAGIAN daripada daun ketum yang dirampas di perairan Kuala Kedah, Alor Setar semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Taktik penyeludup daun ketum mengendalikan bot fiber dalam keadaan bergelap gagal apabila kegiatan mereka itu dikesan anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Kuala Kedah di sini semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 6.45 pagi itu, Maritim Malaysia menemukan 1.03 tan daun ketum bernilai RM185,400 disembunyikan di dalam ruang khas bot yang telah diubah suai.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran bergerak keluar dari muara Kuala Kedah dalam keadaan bergelap dan mencurigakan.

“Sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan dengan memecut laju ke arah daratan berhampiran dan bertindak melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, bot fiber berkenaan ditahan dan hasil pemeriksaan menemukan 103 bungkusan plastik mengandungi daun ketum dengan berat kira-kira 1.03 tan.

“Kesemua daun ketum, bot berserta enjin yang dianggarkan bernilai RM505,400 dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,” jelasnya.

Sementara itu dalam kes berasingan, Noor Azreyanti memberitahu, pihaknya turut bertindak menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C di kedudukan 3.1 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah bersama empat kru kira-kira pukul 6.20 pagi semalam.

“Tangkapan dilakukan berikutan aduan awam melalui talian MERS 999 membabitkan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Semasa ditahan mereka enggan bekerjasama dan bertindak memotong pukat dengan tujuan melupuskan bahan bukti,” katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan dikendalikan tekong bersama seorang kru warga tempatan dan dua lagi kru disyaki warga Thailand yang telah tamat tempoh Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di negara ini.

“Bot dan kesemua kru ditahan serta akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu memukat ikan kurang dari 15 batu nautika dari pantai.

“Sementara warga Thailand yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.