Mangsa rugi besar selepas dilanda banjir kali kedua - Utusan Malaysia

Mangsa rugi besar selepas dilanda banjir kali kedua

ZURAIDAH Sapine menunjukkan gambar keadaan dalam rumahnya yang musnah selepas dinaiki air banjir. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kebanyakan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan di sini tidak menyangka rumah mereka akan dibadai air bah sekali lagi dalam tempoh dua minggu.

Seorang mangsa, Zuraidah Sapine, 48, berkata, banjir kali ini lebih buruk berbanding bulan lepas kerana paras air naik lebih tinggi dalam tempoh masa yang singkat.

Menurutnya, banyak harta benda musnah dihanyutkan arus deras sungai yang terletak berhampiran rumahnya.

“Peti ais, kelengkapan dapur, almari pakaian semuanya rosak. Hanya dokumen dan barang penting dapat diselamatkan.

“Mujur kerajaan memberi sumbangan RM1,000 kepada mangsa banjir, dapat juga meringankan beban kami. Bantuan wang tunai ini membolehkan saya membeli barang keperluan asas untuk memulakan kehidupan semula,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, P. Suppiah, 37, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian besar selepas empat kenderaannya rosak kerana ditenggelami air bah.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana menyalurkan bantuan dalam pelbagai bentuk termasuk baucar penggantian kenderaan peribadi kepada mangsa banjir.

“Bantuan ini akan dimanfaatkan sebaiknya memandangkan pendapatan saya masih belum stabil selepas terjejas teruk disebabkan Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Marliana Razali, 37, memberitahu, banjir kedua yang melanda telah merosakkan jubin dan siling rumahnya.

Katanya, dia buntu apabila memikirkan kos yang perlu ditanggung bagi membaik pulih rumah yang rosak.

“Banjir kali ini hampir memusnahkan rumah saya. Banyak jubin lantai dan siling tercabut kerana arus deras,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN