PUTRAJAYA: Mangsa banjir yang terkesan teruk di seluruh negara kini boleh melakukan pembelian 15 jenis produk elektrik dalam bentuk e-rebat bernilai RM500 bermula hari ini.
Berita gembira itu diumumkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi Program Bantuan Mangsa Banjir Keluarga Malaysia di kementeriannya.
“Buat permulaan sejumlah 1,100 pekedai sudah berdaftar untuk program khas ini, namun kita akan tambah bilangan untuk memudahkan mangsa. Program itu selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 29 Disember lalu bagi penduduk terjejas menggantikan peralatan elektrik rumah yang rosak.
“Bantuan khas ini antara inisiatif kerajaan termasuk pemberian tunai mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah selain pelbagai inisiatif lain untuk meringankan beban ditanggung. Pelaksanaannya itu menggunakan Program Kemampanan Dicapai Melalui Kecekapan Tenaga (SAVE) yang diselaraskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA),” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Takiyuddin bagaimanapun berkata, pemberian itu hanya bagi warganegara yang berdaftar sebagai pemilik akaun bil elektrik domestik dengan syarikat utiliti tenaga dan mereka perlu disahkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) atau Jawatankuasa Bencana Negeri.
Jelas beliau, senarai jenis produk tersebut boleh ditambah pada masa akan datang, namun setakat ini, ia hanya meliputi peti sejuk, mesin basuh, periuk nasi dan ketuhar elektrik selain televisyen, pengisar, kipas, lampu, seterika, cerek elektrik, penyedut hampagas, dapur elektrik, penyejuk beku, ketuhar gelombang mikro dan penghawa dingin.
Barangan itu katanya, tidak terikat kepada syarat label cekap tenaga tetapi perlu mematuhi piawaian keselamatan elektrik dan pengguna digalakkan membeli yang berlabel sedemikian dan mereka yang berminat boleh menebus secara rebat elektronik sama ada beli terus di kedai elektrik atau pasar raya berdaftar selain portal e-dagang iaitu Shopee, Lazada atau PG Mall.
“Untuk bantu pekedai agar lancar aliran pusingan modal tunai, kita ada persefahaman dengan Kementerian Kewangan bagi selesai isu penebusan dalam masa tujuh hari. Penyewa kediaman terjejas banjir turut boleh memohon dengan kebenaran pemilik dan bagi yang tercicir dalam senarai mangsa, mereka perlu memohon supaya dikemas kini data,” katanya.
Pemohon yang ingin mendapatkan maklumat lanjut program rebat khas ini termasuk senarai premis kedai terlibat boleh merujuk pautan laman sesawang http://www.seda.gov.my/bantuan.