MERSING: Malang bertimpa bagi seorang petani yang baru mula berjinak-jinak dalam bidang pertanian apabila belum selesai masalah kebunnya diserang gajah liar, kini terpaksa berdepan pula bencana banjir di Kampung Jemari, di sini.
Abdul Said Saimon, 54, berkata, sebelum ini dia yang bekerja sebagai pemandu lori mengambil keputusan berhenti kerja untuk mengusahakan tanah kebun milik keluarga isterinya, Salina Selamat, 50.
Katanya, tanaman pokok kelapa pandan dan pisang berangan yang diusahakan mereka di tanah seluas tiga ekar seakan-akan terbantut apabila berdepan masalah tersebut.
“Dua hari kebun digenangi air ekoran hujan lebat, baru kelmarin air surut selepas keadaan cuaca tidak hujan. Paling tinggi paras air jika banjir di kebun ini boleh mencecah hingga ke paras pinggang.
“Kecewa juga kerana saya baru sahaja hendak bertani, tiga tahun usahakan tanaman ini namun musnah akibat banjir. Bahkan sebahagian pokok kelapa pandan yang ditanam belum sempat disulam selepas diserang gajah liar tahun lalu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Bapa kepada enam orang anak itu berkata, semangatnya untuk memulakan bidang pertanian berkobar-kobar, lebih-lebih lagi selepas mendapat sokongan dan dorongan daripada Jabatan Pertanian Daerah Mersing.
Katanya, agensi tersebut memberi bantuan sehingga RM16,000 dalam bentuk input tanaman, membantu membina sistem saliran bagi menjayakan tanamannya itu.
“Pokok pisang ditanam sebanyak 400 pokok kini hanya tinggal kira-kira 100 pokok sahaja selepas terendam banjir mengakibatkan ia rosak dan berpenyakit, mungkin tumpuan kami selepas ini lebih kepada pokok kelapa sahaja,” ujarnya.
“Biasanya dalam tempoh empat tahun sudah boleh keluarkan hasil tetapi kalau macam ini tidak sempat kerana tanaman sering terbantut disebabkan banjir dan serangan haiwan,” katanya yang turut membantu isteri yang membuka kedai makan. – UTUSAN