Makan besar Tahun Baharu Cina bersama keluarga dibenarkan - Utusan Malaysia

Makan besar Tahun Baharu Cina bersama keluarga dibenarkan

HALIMAH Mohamed Sadique bersama Wee Ka Siong menunjukkan garis panduan SOP sempena sambutan Tahun Baru Cina 2022 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Masyarakat Cina yang bakal merayakan Tahun Baharu Cina pada 1 dan 2 Februari ini boleh meneruskan tradisi makan besar keluarga pada malam sebelum perayaan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, namun kebenaran itu hanya untuk ahli keluarga sahaja tanpa penglibatan orang luar.

Menurutnya, kementerian sudah membentangkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) Tahun Baharu Cina 2022 dalam Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 Bilangan 1 Tahun 2022 dan diluluskan.

“Upacara sembahyang di rumah ibadat pada 1 dan 2 Februari (raya pertama dan kedua) juga dibenarkan serta aktiviti Sembahyang Khas Hokkien Clan pada 8 dan 9 Februari dibenarkan mengikut SOP Pembukaan Rumah Ibadat Selain Islam dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 4.

“Aktiviti keagamaan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam mengikut tradisi perayaan Tahun Baharu Cina bagi Hokkien Clan turut dibenarkan,” katanya dalam sidang akhbar berhubung SOP Sambutan Tahun Baru Cina 2022 bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, hari ini.

Halimah berkata, Sembahyang Chap Goh Mei pada 15 Februari di rumah turut dibenarkan begitu juga aktiviti ziarah.

Beliau berkata, Resepsi Tahun Baharu Cina hanya dibenarkan kepada yang mendapat jemputan dan tidak dibenarkan kepada orang awam selain tiada sesi majlis berterusan seperti rumah terbuka.

“Penganjuran resepsi ini dibenarkan dengan 50 peratus kapasiti ruang dan penjarakan fizikal,” jelasnya.

Selain itu, beliau memaklumkan, persembahan Tarian Singa, Tarian Naga atau Tarian Harimau adalah dibenarkan tertakluk kepada SOP Industri Kreatif (Persembahan Langsung) Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Saya menyeru masyarakat Cina di Malaysia untuk menyambut Tahun Baharu Cina ini dalam norma baharu dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dalam usaha kita memutuskan rangkaian Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya