Mahkamah perintah Dr. Ganja bela diri - Utusan Malaysia

Mahkamah perintah Dr. Ganja bela diri

DR. GANJA atau nama sebenarnya Amiruddin @ Nadarajan Abdullah hadir ke Mahkamah Tinggi hari ini bagi mendengar keputusan pendakwaan terhadap 39 pertuduhan dihadapinya di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pesara tentera atau lebih dikenali sebagai ‘Dr. Ganja’ diperintahkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini, untuk membela diri selepas pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie ke atas kesemua 39 pertuduhan yang dihadapinya berkaitan dadah termasuk memiliki dan mengedar, lima tahun lalu.

Tertuduh, Amiruddin @ Nadarajan Abdullah, 63, yang merupakan seorang pesara tentera berpangkat pegawai diperintahkan demikian oleh Pesuruhjaya Kehakiman Julia Ibrahim.

Dalam penghakimannya, beliau menjelaskan keputusan dibuat selepas meneliti keterangan dan hujahan kedua-dua belah pihak pembelaan dengan prinsip maksimum.

“Mahkamah mendapati dan memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujudnya suatu kes prima facie terhadap tertuduh berdasarkan keterangan secara langsung dan tidak langsung tanpa bergantung kepada mana-mana anggapan.

“Oleh demikian, tertuduh diperintahkan untuk membela diri atas pertuduhan itu,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan empat hari pada tarikh 7, 8, 13 dan 18 April ini bagi prosiding membela diri.

Berdasarkan pecahan pertuduhan, Dr. Ganja berhadapan 16 pertuduhan berkaitan dadah di bawah Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar ganja seberat 77.84 kilogram (kg) yang mana sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama iaitu gantung sampai mati.

Selain itu, tertuduh yang berkerusi roda itu turut berhadapan dua pertuduhan di bawah Seksyen 39A (1) ADB 1952 kerana memiliki ganja seberat 89.77 gram yang yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara dua hingga lima tahun serta tiga hingga sembilan sebatan.

Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 6 akta sama, Dr. Ganja didakwa memiliki ganja seberat 5.38 gram dan boleh penjara sehingga lima tahun, denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh turut dituduh di bawah Seksyen 6B (1)(a) ADB 1952 kerana memiliki 18 pokok ganja yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya enam sebatan.

Selain itu, Dr. Ganja  berhadapan satu kes di bawah Seksyen 39A (2) akta sama kerana memiliki 181.66 gram ganja dan jika sabit kesalahan juga boleh dikenakan penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun serta minimum 10 sebatan.

Bagi kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan pula, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15(1) (a) ADB 1952, sabit kesalahan Dr. Ganja boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan atau denda maksimum RM5,000.

Kesemua pertuduhan itu terdahulu dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan mula dibicarakan pada 8 April 2019.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dekat sebuah rumah di Kampung Delek Dalam, Klang pada 26 Mei 2017 kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin dengan memanggil 17 saksi di peringkat pendakwaan.

Sementara Dr. Ganja pula diwakili peguam, Ram Karpal Singh dan Harshaan Zamani. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya