JOHOR BAHRU: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain mengesahkan Long Tiger atau nama sebenarnya Ab. Hamim Ab. Hamid akan di tuduh di Mahkamah Tangkak, Johor pada 19 Januari ini.
Menurut beliau, pertuduhan itu dibuat selepas tamat tempoh tahanan reman dikenakan terhadapnya yang bermula 5 Januari dan akan berakhir pada 18 Januari ini.
“Ya, dia (Long Tiger) akan dituduh pada 19 Januari ini di Mahkamah Tangkak.
“Pertuduhan itu melibatkan kes dia melarikan diri daripada mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Terdahulu, Long Tiger ditahan reman selama 14 hari di Penjara Sungai Udang, Melaka selepas ditahan semula kerana melarikan diri pada 28 Disember lalu ketika sedang bersembunyi di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah.
Dalam operasi tangkapan berkenaan, Long Tiger mengalami beberapa kecederaan selepas tergelincir dari bumbung rumah tersebut dalam cubaannya melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Sebelum ini, lelaki berketurunan Rohingya itu bertindak melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Disember lalu dengan meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah pada pukul 11.55 pagi sebelum perbicaraannya bermula.
Bagi pertuduhan pada 19 Januari tersebut, dia akan dituduh atas kesalahan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan.
Selain itu, dia juga mempunyai status perbicaraan di bawah Seksyen 506 kerana mengugut dan mengurung bekas pekerja serta kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 di Mahkamah Sesyen Muar.
Sementara itu, Razarudin turut memaklumkan keputusan Mahkamah Majistret Selayang yang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 kerana mencuri wang tabung Masjid Al Islahiah akan disemak semula Mahkamah Tinggi.
“Polis serahkan isu berkenaan kepada Mahkamah Tinggi untuk semak semula keputusan, difahamkan Isnin ini (esok) ia akan semak semula di Mahkamah Tinggi Shah Alam,” katanya berhubung kes berkenaan selepas disoal pemberita.
Remaja berkenaan, Daniel Iskandar, 19, dijatuhkan hukuman itu kerana mencuri tabung masjid dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah Masjid Al Islahiah di Kilometer 28 Kuang, Rawang pada pukul 11.58 malam, 8 Januari lalu.
Baru-baru ini, tular video yang menunjukkan remaja berkenaan dimandikan seperti jenazah dan turut dilumur dengan kapur barus oleh sekumpulan pengurusan masjid sambil diawasi beberapa penduduk kampung berkenaan.
Kejadian itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat di mana sebilangannya menyokong tindakan pengurusan masjid sebagai pengajaran manakala sebilangan lain mengecam perbuatan tersebut.










