KOTA BHARU: Keluarga ibu tunggal lapan anak di Kampung Lembah Sireh, di sini sudah lali menyambut Tahun Baharu Cina secara ala kadar sejak lima tahun lalu, lantaran kemiskinan yang membelenggu hidup mereka.
Koh Kim Keok, 49, hidup dalam kesempitan selepas kematian mendiang suami 12 tahun lalu apabila membesarkan lapan anak seorang diri dengan cara melakukan pelbagai pekerjaan.
Lima tahun lalu, dia disahkan menghidap penyakit darah tinggi dan sejak itu, kesihatannya merosot sehingga sudah tidak mampu bekerja dan bergantung harap kepada empat anak yang sudah dewasa.
Empat anak Kim Keok, iaitu Adam Haikal Abdullah, 28; Danish Abdullah, 26; Hidayah Abdullah, 24 dan Aishah Abdullah, 21, sudah memeluk Islam dengan tiga daripada mereka sudah berkeluarga.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Kim Keok berkata, dia seboleh-bolehnya enggan menyusahkan anak-anak kerana mereka bekerja dengan gaji tidak seberapa atau cukup makan sahaja.
“Tahun lepas, kisah keluarga saya yang hidup harmoni walaupun miskin dan berbeza agama disiarkan Utusan Malaysia. Laporan itu mendapat perhatian pendakwah bebas, Ebit Lew yang sudi membantu membayarkan sewa rumah kami sebanyak RM450 sebulan.
“Dengan bantuan Ebit Liew dan wang belanja dihulur anak-anak ini, dapatlah saya menyara keluarga namun kami masih perlu berjimat-cermat kerana empat lagi adik mereka masih bersekolah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut Kim Keok, sejak kematian suami, dia mendidik anak supaya tidak boros dan sentiasa bersederhana, termasuk tidak menyambut Tahun Baharu Cina secara besar-besaran seperti keluarga lain
“Sebab itu, sejak jatuh sakit lima tahun lalu, saya sudah tidak lagi menyediakan baju raya untuk empat anak yang masih bersekolah.
“Anak bongsu saya, Ong Kian Jen, 12, sudah beberapa kali meminta baju raya untuknya, tapi saya terpaksa tangguh dulu kerana belum ada duit, lagipun baju seragam sekolah mereka juga belum dibeli,” katanya.
Tahun lalu, akhbar ini menyiarkan kisah empat anak Kim Keok yang memeluk Islam, namun perbezaan agama itu tidak menjejaskan hubungan kekeluargaan sesama mereka apabila tidak pernah gagal meneruskan tradisi makan besar.
Bagaimanapun akibat Covid-19, tiada lagi makan besar tahun lalu, berikutan dua anaknya yang bekerja di Singapura terkandas di sana, selain masalah kewangan yang menghimpit keluarga sejak pandemik itu melanda negara. – UTUSAN ONLINE