Lelaki ditahan, 2,703kg minyak masak paket dirampas - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan, 2,703kg minyak masak paket dirampas

AIN Arjuna Aziz Zaman (tengah) menunjukkan minyak masak paket yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah premis di Bukit Pelandok, Port Dickson semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sebanyak 2,703 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dirampas dalam satu serbuan di sebuah premis tidak bernama di Bukit Pelandok, di sini semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, serbuan pada pukul 12.05 tengah hari itu melibatkan penguat kuasa KPDNHEP Seremban dan cawangan Port Dickson bersama anggota polis.

Jelas beliau, serbuan tersebut dilakukan hasil perkongsian maklumat risikan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan KPDNHEP negeri yang mengesyaki premis berkenaan melakukan penyelewengan minyak masak bersubsidi.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, pasukan serbuan menemukan seorang lelaki warga tempatan berusia 65 tahun yang bertanggungjawab terhadap premis itu. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 159 kotak mengandungi minyak masak paket 1kg dengan jumlah keseluruhan 2,703kg minyak masak berada di dalam premis berkenaan.

“Minyak masak paket tersebut dipercayai dijadikan sebagai bahan asas di dalam proses penghasilan minyak sembahyang dengan dicampur bahan-bahan lain.

“Kesemua barangan berkenaan dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM6,757.50 disita kerana didapati barang kawalan yang merupakan barang berjadual dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ain Arjuna, lelaki itu yang juga suspek ditahan untuk membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati suspek menjalankan kegiatan ini sekitar satu tahun di lokasi berkenaan. Kegiatan ini menggunakan minyak masak bersubsidi sebagai bahan asas untuk menghasilkan minyak masak sembahyang kerana harganya yang lebih murah berbanding dengan harga minyak masak industri demi untuk mengaut keuntungan.

“Siasatan lanjut juga akan dijalankan bagi mendapatkan maklumat pihak-pihak yang terlibat di dalam rantaian yang membekalkan minyak masak paket 1kg kepada kegiatan ini,” tambah beliau.

Jelasnya, KPDNHEP Negeri Sembilan memandang serius terhadap penyelewengan minyak masak paket 1kg kerana minyak masak paket ini seharusnya dijual dan dipasarkan untuk kegunaan isi rumah.

“Usaha membanteras penyelewengan minyak masak bersubsidi ini akan terus dipergiatkan oleh KPDNHEP Negeri Sembilan dari semasa ke semasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya