Lelaki curi duit tabung surau ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki curi duit tabung surau ditahan

SEBAHAGIAN daripada wang tunai dan pemotong dawai yang ditemui daripada suspek selepas ditahan di Surau An-Naim,Taman Ria Jaya, Sungai Petani hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Helah seorang lelaki tidak mengaku mencuri wang tabung Surau An-Naim di Taman Ria Jaya di sini beberapa kali sebelum ini akhirnya terbongkar apabila ditahan ketika mengumpil peti besi di surau itu semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11.50 malam, suspek tidak lagi mampu berdalih kerana gelagatnya melakukan perbuatan jahat itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang baharu dipasang pihak pengurusan surau itu.

Ketika ditahan, lelaki berusia 21 tahun yang juga penduduk taman sama didapati mengeluarkan sejumlah wang daripada peti besi menggunakan pemotong dawai.

Imam surau tersebut, Abd Aziz Desan, 55, berkata, lelaki terbabit sememangnya diketahui sering memecah masuk dan melarikan wang sumbangan jemaah yang disimpan di dalam sebuah peti besi di surau terbabit sebelum ini.

“Kami tidak boleh memberkasnya selama ini kerana tidak mempunyai bukti walaupun suspek selalu dilihat berkeliaran di kawasan surau terutamanya pada waktu malam.

“Hasil persetujuan bersama ahli jawatankuasa, kami mula memasang CCTV pada pagi Ahad dan malamnya sekitar pukul 11.50 malam, kami berjaya menahannya ketika dia sedang mencuri wang tabung di dalam surau,” katanya yang ditemui di Surau An-Naim di sini hari ini.

Abd Aziz memberitahu, ketika ditahan suspek yang bersembunyi di belakang peti besi itu masih menafikan perbuatannya namun sebaik sahaja ditunjukkan rakaman CCTV, dia mengaku mencuri wang tabung surau itu.

Tambahnya, kes kecurian wang tabung surau itu sebelum ini melibatkan kerugian lebih RM1,000.

“Lelaki terbabit kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Suspek yang merupakan seorang penganggur ditangkap semula oleh pihak kita malam tadi di lokasi kejadian dan kini direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Siasatan turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dua kes di bawah seksyen sama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN