Lebih ramai bekas pemimpin DAP, ahli korporat Pulau Pinang akan sertai Warisan - Utusan Malaysia

Lebih ramai bekas pemimpin DAP, ahli korporat Pulau Pinang akan sertai Warisan

JEFF Ooi Chuan Aun (kiri), Danny Law Heng Kiang (tengah) dan Martin H. P. Lim dalam sidang akhbar memperkenalkan parti Warisan Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Lebih ramai pemimpin DAP dan ahli korporat di Pulau Pinang dijangka menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam masa terdekat.

Perkara tersebut disahkan Koordinator Warisan Pulau Pinang, Jeff Ooi Chuan Aun yang juga bekas pemimpin DAP negeri yang memaklumkan pengumuman mengenainya akan dibuat kelak.

“Ramai lagi (pemimpin DAP dan ahli korporat) akan diperkenalkan satu demi satu, banyak lagi akan muncul,” katanya dalam sidang akhbar memperkenalkan parti Warisan Pulau Pinang di sini hari ini.

Yang turut hadir, dua lagi ahli parti itu iaitu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Datuk Danny Law Heng Kiang dan bekas Ketua Kakitangan Ibu pejabat DAP Pulau Pinang, Martin H. P. Lim.

Jeff Ooi yang juga bekas Ahli Parlimen Jelutong berkata, tumpuan utama Warisan di Pulau Pinang bukan semata-mata untuk menerima bekas ahli DAP, sebaliknya mahu bergerak lebih jauh melangkaui pengaruh parti tersebut.

Tanbahnya, selaku bekas pemimpin DAP Pulau Pinang, beliau serta Danny Law serta mereka yang akan menyertai parti itu kelak lebih kenal dan tahu situasi politik negeri ini termasuk dari segi dan emosi pengundi-pengundinya.

“Penerimaan bekas ahli DAP dan tokoh korporat itu adalah antara usaha kita dalam membina tapak atau asas Warisan di Pulau Pinang.

“Begitupun tujuan utama kita adalah untuk membuka jalan kepada golongan muda dan profesional menyertai Warisan seperti yang dinyatakan Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang mana tidak kurang 50 peratus penyokong serta ahli Warisan mesti golongan muda,” katanya.

Ditanya mengapa memilih Warisan sebagai tapak parti baharu, Jeff Ooi berkata, beliau mencari platform sebuah parti politik yang tidak berteraskan agama atau kaum serta memenuhi cita rasa rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Untuk balik semula kepada Pakatan Harapan (PH) mungkin susah sebab kami dulu seperti tidak diberi ruang dan peluang untuk bergerak atau memberi sumbangan terhadap perubahan politik negara,” katanya.

Kepada soalan berkenaan sasaran Warisan Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Jeff Ooi berkata, pihaknya perlu menguasai kesemua 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 13 Parlimen sebagai syarat untuk berkuasa di peringkat Pusat.

Sehubungan itu jelas beliau, pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik pada PRU-15 yang mampu memberikan kestabilan kepada negara dan mengelak situasi huru-hara politik.

“Pendirian kita kekal terbuka dan sanggup bekerjasama dengan mana-mana parti jika  persefahaman politik itu dapat memastikan kesilapan seperti Langkah Sheraton tidak berulang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya